KUALA LUMPUR, 6 Mac 18 – Majlis Perasmian Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (TPA M-130) atau International Monitoring Team Mindanao 13 (IMT M-13) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor bertempat di Dewan Tanjung, Wisma Transit.
Penghantaran TPA M-13 adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan juga persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi tempoh dua belas bulan. TPA M-13 diketuai oleh YBhg Mej Jen Dato’ Hj Mohd Nazir bin Hj Mami selaku Ketua Misi akan meneruskan misi menggantikan TPA M-12 yang bertugas selama 12 bulan.
TPA M-13 akan meneruskan tugasan bagi mewujudkan keadaan yang kondusif di antara kedua-dua pihak (Kerajaan Filipina dan MILF) di dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga wilayah Mindanao mencapai keamanan sepenuhnya. TPA M-13 juga akan terus memainkan peranan penting agar tiada insiden yang boleh menggugat proses kelulusan Bangsamoro Basic Law (BBL).
Pergerakan kumpulan pendahuluan TPA M-13 dijadualkan pada 7 Mac 18 ke Manila dan seterusnya ke Mindanao dengan menggunakan pesawat komersial yang diketuai oleh Ketua Misi beserta 4 ahli tim tersebut. Manakala pergerakan kumpulan induk TPA M-13 pada 13 Mac 18 diketuai oleh YBhg Kol Muhammad Shafiq bin Jahudi TUDM selaku Timbalan Ketua Misi bersama ahli tim yang lain dengan menggunakan pesawat Hercules C-130 TUDM dari Pangkalan Udara Subang.
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut adalah Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima-panglima Perkhidmatan yang lain serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.