SUBANG, 4 Okt 18 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerbangkan sebuah pesawat angkut A400M ke Jakarta bagi memulakan misi bantuan kemanusiaan mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu, Sulawesi, Indonesia. Penerbangan pertama bertolak jam 10 pagi tadi ke Jakarta sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Palu, Sulawesi dengan membawa 23 anak kapal bersama 5 petugas media. Misi ini diketuai oleh Lt Kol Baharin bin Mohamad TUDM yang merupakan Pegawai Memerintah No 22 Skuadron selaku komander pesawat.
Pesawat A400M akan digunakan untuk mengangkut peralatan-peralatan seperti jentera berat dan pelbagai mesin dari Jakarta dan juga Balik Papan yang mana jentera-jentera ini tidak dapat dibawa menggunakan pesawat angkut C-130H kerana saiz dan beratnya yang sangat besar. Selain itu, difahamkan kerajaan Indonesia di Jakarta juga akan membekalkan barangan makanan, bantuan perubatan dan keperluan harian untuk diterbangkan ke lokasi bencana menggunakan pesawat sama.
Seluruh warga TUDM mendoakan agar misi ini berjaya dan selamat serta keselamatan untuk semua mangsa di Palu, Sulawesi.