Kemaskini Terakhir: Isnin,16 Sept 2019
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

123456789

 

PEKAN, 30 April 19 - Upacara Penganugerahan Beret Pasukan Khas TUDM (PASKAU) kepada penuntut dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 26/2019 telah disempurnakan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Sri Hj Abdul Mutalib bin Datuk Hj Ab Wahab TUDM bertempat di Tanjung Selangor, Pekan, Pahang. Seramai 19 penuntut daripada 32 calon asal telah berjaya menamatkan kursus ini setelah mengharungi perit getir latihan yang lasak dan mencabar untuk dianugerahkan beret PASKAU yang merupakan lambang kemegahan PASKAU.

Buat julung kalinya Kursus Asas Komando TUDM dikendalikan oleh Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) Bukit Ibam Muadzam Shah Pahang dibawah Flait Latih PASKAU. Sebelum ini, kursus ini dijalankan di Rejimen TUDM Bukit Jugra, Banting.
Latihan selama 12 minggu siang dan malam bagi menguji mental dan fizikal adalah cabaran yang perlu diharungi para penuntut sebelum melayakkan mereka bergelar anggota PASKAU. Taktik, teknik dan kemahiran yang tinggi sebagai anggota PASKAU dilatih kepada para penuntut dengan mengikuti 6 modul latihan iaitu Modul Latihan Peringkat Kem, Jalan Lasak Jarak Jauh 160km, Modul Latihan Hutan, Modul Survival, Escape, Resistance, Evasion (SERE), Modul Latihan Perairan dan Modul Tactical Dark Water Rowing (mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km).
Bagi memastikan latihan ini selari dengan penugasan dan peranan PASKAU dalam melaksanakan operasi khas, para penuntut turut dilatih dengan kemahiran penyusupan melalui darat, laut dan udara, taktik khas peperangan hutan, sabotaj, menyelamatkan tebusan, serangan pantai, ikhtiar hidup hutan dan paya. Setelah penat lelah yang diharungi oleh 19 penuntut ini, mereka kini layak bergelar anggota PASKAU.

Pada majlis penutup ini, turut diadakan demonstrasi serangan ke atas musuh atau dipanggil sebagai Enemy Foward Operation Base (Enemy FOB) melibatkan seramai 31 orang terdiri daripada penuntut kursus dan anggota PASKAU. Pesawat Helikopter EC 725AP TUDM turut digunakan sebagai elemen penting dalam serangan ini bagi membawa anggota PASKAU menyusup ke kawasan musuh.

Pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 26/2019 telah dinobatkan kepada LU Muhammad Aidil Affandy bin Ramli. Turut hadir menyaksikan upacara ini adalah Pegawai Memerintah Rejimen TUDM, Kol Hj Khalil bin Mohd Ali, Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Jafridin bin Bahari TUDM, Pegawai-pegawai Kanan TUDM, Jurulatih-jurulatih serta ahli keluarga penuntut.