KUALA LUMPUR, 25 Sep 19 - Buat julung kalinya Tentera Udara Diraja Malaysia menerima kunjungan daripada delegasi Royal New Zealand Air Force (RNZAF) bersempena RMAF-RNZAF Air Staff Talks.
Program ini bertujuan bagi mengkoordinasikan aktiviti kerjasama antara TUDM dan RNZAF seterusnya menjadi platform bagi kedua-dua belah pihak untuk membincangkan cadangan aktiviti latihan, kursus, perkongsian pengalaman dan kepakaran serta pertukaran lawatan.
Program kerjasama ketenteraan yang berlangsung dari 22 hingga 26 Sep ini merangkumi aktiviti lawatan kerja ke Markas Pendidikan dan Latihan Udara, kunjungan hormat kepada Ketua Staf MPPLU & Asisten Ketua Staf Operasi & Strategi, mesyuarat dan majlis makan malam rasmi.
Mesyuarat kerjasama pertahanan Air Staff Talks ini telah dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Kerjasama Udara & Doktrin, MTU-BOS, Kol Theodore Mohan Kumar Navaretnam dan Ketua Delegasi RNZAF, Assistant Chief of Air Force Strategy Management, GPCAPT Geoff Pierce.
Disamping itu ianya juga diharapkan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara yang selama ini sering terlibat di dalam eksesais Five Power Defence Arrangements.