Kemaskini Terakhir: Ahad,12 Jul 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

 1

2222

BIODATA

JENERAL DATO’ SRI ACKBAL BIN HJ ABDUL SAMAD TUDM
PJN SSAP SIMP PSAT DPKK DSAP DIMP PAT JSM SAP SMP KAT AMN AAP dssc psc tp
PANGLIMA TENTERA UDARA

Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM adalah seorang anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.

Jen Dato’ Sri Ackbal adalah seorang bekas penuntut Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja dari tahun 1978 sehingga 1980.

Di atas dorongan keluarga dan minat yang mendalam untuk menjadi seorang Juruterbang Pejuang, beliau telah memohon untuk menyertai perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia, Skim Tauliah Jangka Tetap pada tanggal 1 Jun 1980 di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.

Jen Dato’ Sri Ackbal telah menjalani Kursus Penerbangan Asas pada tahun 1983 di TUDM Alor Setar selama lebih kurang setahun dan merupakan pengambilan pertama yang dilatih menggunakan pesawat Pilatus PC-7, sebelum ditukarkan ke TUDM Kuantan bagi mengikuti Kursus Penerbangan Peralihan Pejuang menggunakan pesawat Aermacchi MB-339A di Pusat Latihan Terbang III (PULATIBANG III).

Di atas berkat kegigihan dan semangat yang kuat, beliau semasa di TUDM Alor Setar telah berjaya meraih kesemua piala-piala pusingan yang sedia ada ketika itu, seperti Piala Penerbangan Kajian Bawah Terbaik, Piala Juruterbang Terbaik dan Piala Penuntut Terbaik Keseluruhan. Usaha gigih ini telah diteruskan oleh beliau semasa di Kuantan di mana sekali lagi berjaya meraih Piala Penuntut Fighter Lead-In Terbaik ketika menjalani Kursus Penerbangan Peralihan Pejuang pada tahun 1984/1985.

Kerjaya awal sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi telah melihatkan Jen Dato’ Sri Ackbal berkhidmat di beberapa buah Skuadron (Skn) Operasi TUDM di sekitar tahun 1985-1990 dan 1994-1999.

Bermula dengan No 9 dan 6 Skn, di mana beliau telah menerbangkan pesawat Skyhawk A4 PTM di antara tahun 1985 sehingga tahun 1988, dan kemudiannya ke No 11 dan 12 Skn di TUDM Butterworth sebagai seorang Juruterbang Operasi pesawat F-5E dari tahun 1988 sehingga tahun 1990.

Aspirasi dan impiannya untuk terus maju sebagai seorang juruterbang yang professional terbukti sekali lagi apabila beliau telah lulus dan dianugerahkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus Jurulatih Penerbangan di Institut Latihan Instruktur Terbang (ILIT), TUDM Alor Setar pada tahun 1990.

Di atas usaha gigih dan prestasi yang dipamerkan di sepanjang kerjaya beliau, Jen Dato’ Sri Ackbal pada tahun 1992 telah dipilih oleh Panel Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat (Test Pilot) di United Kingdom bagi sesi tahun 1993-1994. Semasa menjalani kursus tersebut, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat/ simulasi (berjumlah 19 jenis) dan di antaranya termasuk pesawat pejuang Jaguar milik Royal Air Force, MiG-29N milik Zhukovsky Flight Test Centre-Russia, L39 Albatross milik Syarikat Aero-Vodocody di Republik Czech, Hawk T Mk-1 milik Empire Test Pilot School di UK, Lear Jet-Variable Stability Test Platform, BAE 146, SAAB 2000, King Air, Air Glider, pesawat Aerobatic Extra 300, simulasi pesawat Boeing 737-300, simulasi pesawat Airbus A320, simulasi Hawk 200 di Farnborough, simulasi Jaguar di Scotland, simulasi Eurofighter di BAE Warton, UK dan sebagainya.

Kerjaya selaku Juruterbang Penguji TUDM, telah memperlihatkan penglibatan beliau di dalam kerja-kerja penerbangan pengujian ke atas pesawat Hawk, Aermacchi, F-5E, Beechcraft B200T dan MiG-29N. Selain daripada itu, beliau juga terlibat di dalam kerja-kerja pembangunan simulator MiG-29N dari tahap penyediaan Air Staff Operational Requirement (ASOR) pada tahun 1994, rundingan kontrak, pengumpulan dan penjanaan data-data melalui penerbangan ujian pesawat MiG-29N sehinggalah kepada kerja-kerja penerimaan simulator tersebut pada tahun 1998. Beliau juga telah terlibat dalam membuahkan idea serta pelaksanaan qualification flight trials bagi beberapa kerja-kerja modifikasi ke atas pesawat MiG-29N seperti pemasangan Transformer Rectifier Unit-TRU, pentauliahan pemasangan Sistem Smoke Generator, kerja-kerja pemasangan Sistem Kamera Head-Up Display–HUD, Hot Brake Safety Cage Trolley, serta kerja-kerja modifikasi tahap 3 kontrak perolehan pesawat MiG-29N iaitu pemasangan Sistem Air-to-Air Refuelling Prob dan radar upgrade.

Dari tahun 1994, iaitu sekembalinya beliau dari Kursus Peralihan Penerbangan Pesawat MiG-29N di Rusia, sehingga ke tahun 1999, Jen Dato’ Sri Ackbal telah ditugaskan untuk menubuh dan seterusnya menerajui No 19 Skn yang merupakan sebuah Skn Operasi pesawat MiG-29N. Beliau telah banyak menimba pengalaman, baik dari segi pengurusan aset, anggota mahupun aktiviti-aktiviti operasi semasa berkhidmat di skn-skn operasi yang dinyatakan.

Jen Dato’ Sri Ackbal berpengalaman dalam pelbagai operasi di sepanjang kerjayanya sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi. Di antara pengalaman operasi yang pernah beliau lalui adalah Operasi Penerbangan Pemantauan Terumbu Layang-Layang, Operasi Pemintasan Pesawat Angkut Negara Rusia (Operasi ‘Zombies Watch’), Operasi Membanteras Pengganas Komunis melalui pengguguran bom di Sempadan Malaysia-Thailand, Operasi Pemantauan Selat Melaka dan sebagainya.

Selain daripada itu, Jen Dato’ Sri Ackbal juga merupakan salah seorang daripada Ahli Tim Aerobatik pesawat MiG-29N pada Pertunjukan Udara LIMA pada tahun 1995 dan 1997 di mana beliau merupakan Juruterbang Solo Display di dalam pertunjukan tersebut. Beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Operasi Plan Evakuasi “Operasi Pyramid” pada tahun 2011. Jen Dato’ Sri Ackbal turut terlibat semasa Ops Daulat yang menyaksikan TUDM melaksanakan air campaign untuk mendokong operasi pencerobohan oleh pengganas Sulu di Lahad Datu. Beliau juga turut diberi kepercayaan mengetuai Malaysia High Level Technical Group ke China semasa insiden kehilangan pesawat MH 370 pada 2014. Semasa menjawat jawatan Panglima Angkatan Bersama (2015/2016), Jen Dato’ Sri Ackbal juga telah berkesempatan melawat trup MALBATT 850 sebanyak dua kali di Lubnan bagi memastikan kesiagaan yang tertinggi pada sebilang masa.

Setelah lebih kurang 15 tahun bertugas secara aktif sebagai seorang juruterbang operasi, Jen Dato’ Sri Ackbal kemudiannya telah diberi peluang oleh pucuk pimpinan TUDM untuk menerajui beberapa jawatan-jawatan pengurusan dan staf, baik di Markas Formasi mahupun di MTU di Kementerian Pertahanan. Di antara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Pegawai Operasi di dalam Tim Projek Pesawat Pejuang Baru (PPPB)-MTU pada tahun 1993/94, Pegawai Staf 1 Keselamatan dan Piawaian, No 1 Div Udara pada tahun 2000, Pengarah Perancangan & Pembangunan (P&P), MTU dari tahun 2002- 2004, Pemangku AKS P&P (5 bulan), Pemangku Panglima 1 Div Udara (3 bulan), Komander Pangkalan Udara Kuantan dari bulan Okt 2004 - Feb 2006, Panglima No 2 Div Udara di Wilayah Persekutuan Labuan dari bulan Mac 2006 - Jan 2007, Panglima Logistik Udara dari Feb 2007 - Sept 2010, Panglima No 1 Div Udara dari Sept 2010 - Nov 2010. Jen Dato’ Sri Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Lt Jen TUDM pada usia 48 tahun dan menjawat jawatan sebagai Panglima Operasi Udara sehingga tahun 2014. Seterusnya beliau menjawat jawatan Panglima Angkatan Bersama sehingga Ogos 2015 dan kembali menjawat jawatan Panglima Operasi Udara sebelum dinaikkan ke jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara pada 2016.

Manakala dari segi kursus kerjaya pula, Jen Dato’ Sri Ackbal telah berpeluang menghadiri kursus-kursus seperti Kursus Electronic Warfare di USA (1988), Kursus Kejurulatihan (Instructional Technique - 1988) di Naval Training Centre di San Diego, CA, USA, Kursus Staff College di RNZAF Whenuapai (Auckland, New Zealand - 1996), Kursus Pengurusan dan Pengoperasian Sistem Simulator (Montreal, Canada - 1997) dan Kursus Defence and Strategic Studies di Weston Creek (Canberra, Australia - 2001).

Jen Dato’ Sri Ackbal merupakan seorang pengurus yang berpegang kepada prinsip Realist. Beliau merupakan seorang yang praktikal, tegas dan mempunyai prinsip kerja yang sentiasa mengutamakan kualiti, ketepatan waktu dan keberkesanan tugas. Beliau juga percaya, bekerja sebagai ‘satu tim’ adalah penting di dalam sesebuah organisasi seperti TUDM dan selalu mengutamakan strategi ‘menang-menang' (win-win situation) dan seboleh-bolehnya mengelakkan opsyen ‘menang-kalah' (zero-sum) apabila berdepan dengan situasi di mana beliau diharuskan membuat keputusan.

Beliau merupakan seorang proponent terhadap pentadbiran/ pengurusan yang berteraskan kesan (outcome) kerana beliau percaya kaedah sedemikian mampu secara tak langsung, memperbaiki proses-proses usang dan lapuk yang tidak lagi berkesan dan efisyen di masa kini. Kaedah pengurusan ini telah beliau praktikkan ketika menerajui Markas Logistik Udara. Markas Logistik Udara telah melalui satu proses transformasi ketika di bawah pengurusan Jen Dato’ Sri Ackbal di mana banyak penambahbaikan telah dilaksanakan.

Di antaranya adalah penyediaan Manual Kerja Proses Logistik Udara, penyusunan semula Proses Pembaikan dengan menggunakan Sistem Pengurusan Komputer Bersepadu (SPKB), mengimplimentasikan sistem memohon sebut harga melalui laman sesawang (web-based), mengemas kini proses pembelian alat ganti, penyusunan semula proses kerja di semua Unit Materiel Udara (MATRA), mewujudkan TCI Logistik TUDM, mengemas kini stok alat ganti di dalam SPKB, mewujudkan senarai Approved Vendor List bagi kontraktor ’5 pillars’ TUDM, mewujudkan pengurusan ’Bonded Store’ TUDM di premis Airod Sdn Bhd dan pelbagai lagi.

Di atas dedikasi, komitmen serta budaya kerja yang dipamerkan oleh beliau, Jen Dato’ Sri Ackbal telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) sebanyak tiga kali iaitu, pada tahun 1991 semasa beliau seorang Jurulatih Terbang berpangkat Kapten di TUDM Alor Setar, pada tahun 1997 selaku PM No 19 Skn, PU Kuantan dan pada tahun 2003 selaku Pengarah Bahagian Perancangan & Pembangunan di MTU. Selain daripada itu, Jen Dato’ Sri Ackbal telah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Nasional daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 2006. Di samping itu, beliau juga telah menerima beberapa Anugerah dan Bintang Kebesaran Peringkat Negeri dan juga Persekutuan sebagai penghargaan terhadap beliau kepada Perkhidmatan, Negara dan Bangsa. Pingat-pingat yang dianugerahkan kepada beliau terdiri daripada pingat PJN, SSAP, SIMP, PSAT, DPKK, DSAP, DIMP, PAT, JSM, SAP, SMP, KAT, AMN dan AAP.

Jen Dato’ Sri Ackbal telah berkahwin dengan Datin Sri Dato’ Norainy binti Shahar Alam dan telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.