Kemaskini Terakhir: Isnin,21 Sept 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

123

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2020 – Bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan perutusan perintah ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-21 sejak memegang jawatan tersebut pada 2 Januari lalu.

Di dalam perintah ulung berkenaan beliau telah menekankan empat (4) teras sebagai menyokong visi pembentukan Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu menjadikan “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”.

Dalam menjayakan teras yang digariskan, beliau telah menekankan agar segala doktrin dan dokumen berkaitan ATM perlu selari dengan KPP terutama dalam Pelan Pembangunan Strategik Angkatan Tentera Malaysia yang dikenali sebagai 4th Dimension Malaysian Armed Forces atau 4D MAF. Ini adalah perlu agar ATM tidak ketinggalan dalam pembangunan pertahanan serta peningkatan keupayaan.

456

Empat teras yang menjadi keutamaan dalam perintah ulung tersebut adalah “Memperkasakan Kesiagaan Aset Angkatan Tentera Malaysia” sebagai teras pertama. “Memperkasa Warga Angkatan Tentera Malaysia Yang Cemerlang” sebagai teras kedua. Manakala teras ketiga adalah “Mengukuhkan Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam Domain Siber” dan terakhir adalah “Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan”.

Justeru itu juga, pelan keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang lain iaitu Pelan ARMY For Next Generation atau Army 4 Next G dalam Tentera Darat, Pelan TLDM 15 to 5 atau RMN 15 to 5 bagi Tentera Laut dan Perancangan Capability 2055 atau #CAP55 bagi TUDM perlu diselaraskan oleh setiap perkhidmatan. Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan sewajarnya kepada polisi dan pelan sedia ada agar ianya dapat dimangkinkan oleh KPP berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa KPP merupakan pemangkin dan pemandu kepada segenap aktiviti ATM daripada perolehan, pembangunan, latihan dan operasi. Semua pemerintahan perlu menghalusi KPP ini dan menyelaraskan semula segala polisi, doktrin serta prosedur di bawah naungan agar ianya dapat diperkukuhkan sebagaimana di sarankan dalam KPP tersebut. Setiap pemerintahan juga perlu untuk menyemak dan menyelaras hala tuju masing-masing serta menyediakan pelan tindakan bersesuaian yang boleh mencapai serta mendokong aspirasi KPP berkenaan.

789

Melalui perintah ulung ini juga beliau turut menekankan keupayaan ATM dalam mengukuhkan penguasaan domain siber demi menentukan kepentingan negara sentiasa terpelihara. Ini kerana ancaman domain siber boleh memincangkan negara sebagaimana yang telah disaksikan melalui serangan siber seperti Denial of Service, Malware dan State Sponsored Hacking. Justeru, sudah tiba masanya untuk ATM mendepani cabaran ini melalui penubuhan satu pemerintahan Siber dan Elektromagnetik demi menentukan bukan sahaja kemapanan rangkaian ATM malahan keselamatan kepentingan negara di dalam domain siber.

Bagi mencapai semua aspirasi, beliau turut menekankan pelaksanaan konsep “to do more with less” dalam menggalas amanah negara. ATM perlu menentukan keutamaan dalam apa jua perancangan bagi menyesuaikan ketumbukan di dalam kekangan peruntukan sedia ada. Ini meletakkan organisasi ini untuk berbelanja secara berhemah dan pada masa yang sama meningkatkan keupayaan serta keberkesanan dalam melaksanakan tugas. Dalam erti kata yang lain, ATM perlu melaksanakan operasi dan latihan yang telah dijadualkan di samping keperluan merancang peruntukan kontigensi bagi menghadapi sebarang insiden atau situasi yang tidak diingini.

101112

Aspek kebajikan warga ATM turut tidak dikesamping dalam mendokong teras dan pembentukan KPP yang akan mendorong kepada penghasilan warga yang cemerlang. Untuk itu, beliau turut berkehendakan agar segenap lapisan pemerintahan ATM melihat kepada aspek kebajikan keseluruhan anggota secara holistik termasuk aspek keselamatan dan kesempurnaan fasilitas tempat bekerja, keselesaan tempat tinggal, peralatan dan perkakasan yang diperlukan untuk tugasan warga serta gaji dan elaun.

Begitu juga dengan kebajikan warga veteran di mana ATM akan terus komited membantu seberapa daya upaya selagi bantuan itu masih di bawah bidang kuasa. Beliau menegaskan ATM akan terus memastikan latihan yang bersesuaian diberikan sebagai persediaan untuk para veteran meneroka kerjaya baharu yang dapat meningkatkan taraf sosioekonomi dan kebolehpasaran mereka setelah meninggalkan perkhidmatan. Ini bagi memastikan keperluan sosial, kesejahteraan dan kepentingan veteran sentiasa terbela dan terpelihara.