Kemaskini Terakhir: Rabu,21 Okt 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

abc

SUBANG, 8 Mei 2020- Dalam suasana umat Islam menyambut ibadah puasa di bulan Ramadan, ianya bukanlah suatu alasan untuk TUDM mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul dalam mempertahankan kedaulatan negara serta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan satu lagi tanggungjawab sosial semasa negara masih lagi mendepani cabaran COVID-19 yang kini telah memasuki fasa 5 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu PKP Bersyarat (PKPB). Pesawat pengangkut A400M milik TUDM dari No. 22 Skn, Pangkalan Udara Subang (PU Subang) terus melaksanakan misi ini dengan bukan sahaja menghantar barang keperluan perubatan dan kesihatan melalui penghantaran udara ke Labuan, Sabah dan Sarawak, malah telah turut sama membawa sekumpulan rakyat dari negeri terbabit untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

ghi

Seramai 19 orang rakyat Malaysia tersebut, majoritinya adalah pelajar universiti dan terdapat juga yang bekerja di luar negara. Kesemua mereka yang dihantar pulang adalah yang telah selamat menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di beberapa buah “Quarantine Station” (QS) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19. Urusan bagi membawa pulang mereka yang terlibat diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kumpulan berkenaan dihantar dengan bas ke Pangkalan Udara Subang. Setibanya mereka di Bangunan Pergerakan Udara, PU Subang kira-kira jam 4.45 pagi, mereka turut menjalani saringan kesihatan oleh petugas kesihatan dan staf perubatan tentera dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), PU Subang serta proses disinfeksi barang-barang sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP) tatacara pengurusan penumpang pesawat. Mereka turut dibekalkan dengan rangsum penerbangan untuk bersahur.

dfj

Untuk misi penghantaran udara kali ini, pesawat A400 M membawa pulang pelajar dan anak kelahiran negeri berkenaan di tiga (3) lokasi iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan sebelum penghantaran ke lokasi penempatan di daerah kediaman masing-masing diuruskan oleh agensi di bawah kerajaan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Sehingga hari ini, keseluruhan seramai 159 orang rakyat Malaysia dari luar negara yang berasal dari Labuan, Sabah dan Sarawak telah selamat dihantar pulang oleh TUDM melalui enam (6) penerbangan. Penghantaran ini adalah usahasama melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan TUDM.

123456

Selain penghantaran pulang rakyat ke negeri berkenaan, penerbangan “logistic comm” pesawat A400M kali ini turut melaksanakan penghantaran barang-barang bantuan alatan perubatan, barangan keperluan “Personal Protective Equipment” (PPE) serta makanan ke Labuan, Sabah dan Sarawak.

Untuk rekod, bagi penghantaran bekalan alatan perubatan dan makanan sepanjang tempoh pandemik COVID-19, keseluruhan berat yang telah dihantar melalui penerbangan TUDM adalah sebanyak 250 tan melibatkan atur gerak pesawat pengangkut A400M dan juga C130H.

78

Pencapaian yang diperoleh ini adalah hasil kerjasama dalam satu pasukan melibatkan skuadron yang terlibat, Cabang Pergerakan Udara (PU Subang, PU Kuching dan PU Labuan), Bomba TUDM, PUKALUB KK, Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) dan Provos TUDM telah memastikan semua urusan penghantaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

Pesawat A400M turut diterbangkan sendiri oleh Pegawai Memerintah No. 22 Skn, Lt Kol Yusrizal bin Zain TUDM serta dibantu oleh lima (5) pegawai dan lima (5) kuarter master udara (AQM). Tahniah dan penghargaan oleh TUDM kepada seluruh warganya yang telah rela berbakti, mengerahkan keringat, tenaga dan pengorbanan masa sepanjang usaha negara memerangi pandemik COVID-19. Amanah yang diberikan digalas dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab demi melestarikan kesejahteraan negara.