Kemaskini Terakhir: Rabu,21 Okt 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

PicsArt 06 04 12.55.42PicsArt 06 04 12.57.59PicsArt 06 04 12.56.23PicsArt 06 04 12.54.39PicsArt 06 04 12.38.36PicsArt 06 04 12.42.49PicsArt 06 04 12.47.10PicsArt 06 04 12.54.09PicsArt 06 04 12.45.21

BUKIT IBAM, 4 Jun 2020 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyempurnakan upacara Penganugerahan Beret PASKAU dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 27/20 bertempat di Padang Kawad Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) Bukit Ibam, Pahang.

Kursus Komando TUDM siri 27/2020 ini telah bermula pada 13 Januari 2020 dan sepatutnya tamat pada 11 April 2020 yang lalu. Namun, di atas penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara, ianya telah menjejaskan fasa latihan dan majlis penutup kursus ini. Kursus ini terpaksa ditangguhkan atas nasihat kerajaan dan latihan akhir kursus ini yang tertangguh selama 60 hari telah disambung semula pada 15 Mei 2020. Setelah menjalani perit dan jerih latihan yang mencabar mental dan fizikal mereka, tiga (3) pegawai dan 28 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada 65 calon asal akhirnya berjaya menamatkan kursus ini dan layak dianugerahkan beret Pasukan Khas Udara (PASKAU), beret biru yang menjadi lambang kemegahan PASKAU.

Semasa menjalani kursus ini, pelbagai taktik, teknik dan kemahiran yang tinggi sebagai anggota PASKAU telah dilatih kepada para penuntut bagi mencapai objekif kursus yang antaranya ialah meningkatkan tahap keupayaan fizikal, mental dan disiplin yang tinggi, menerapkan rasa tanggungjawab, sifat setia kawan serta kerjasama yang jitu serta penerapan nilai kepimpinan dan yakin diri pada setiap anggota.

Bagi memastikan latihan ini selari dengan penugasan dan peranan PASKAU dalam melaksanakan operasi khas, para penuntut turut dilatih dengan pelbagai kemahiran yang menyediakan mereka untuk sedia beroperasi di daratan, lautan dan di udara seperti kemahiran peperangan di hutan, serangan pantai, menyelamatkan tebusan serta latihan ikhtiar hidup.

Bagi pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 27/2020 telah dinobatkan kepada Lt Ahmad Musthofalkarami bin Sabri TUDM. Anak kedua daripada 9 adik beradik, berasal dari Ajil, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan telah ditauliahkan pada 31 Mac 2018. Beliau sebelum ini bertugas di No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan sebagai Pegawai Kejuruteraan.

Panglima Tentera Udara dalam ucapan penutup kursus mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penuntut yang kini telah layak digelar anggota PASKAU setelah berjaya mengharungi segala pahit getir dan pelbagai cabaran untuk mencapai kemuncak kejayaan kursus yang mencabar ini. Beliau mengingatkan para penuntut, agar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi. Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus "mission capable" untuk melaksanakan setiap misi dan operasi. Selain daripada itu, sikap yang positif juga adalah amat penting terutama dalam memberi komitmen yang sepenuhnya bagi kepentingan organisasi TUDM amnya dan PASKAU khasnya demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

Panglima Tentera Udara juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para jurulatih yang telah bertungkus lumus tanpa mengira masa dan tenaga bagi menjayakan kursus ini, dan tidak terkecuali kepada ibu, bapa, penjaga dan keluarga penuntut kerana dengan berkat doa daripada merekalah, kini perwira dan perajurit telah berjaya menamatkan kursus hingga pada hari ini.

Turut hadir menyaksikan upacara ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM; Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Jafridin bin Bahari TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM serta para jurulatih. Upacara Penganugerahan Beret PASKAU dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 27/20 kali ini juga adalah penutup kursus yang pertama kali dilaksanakan dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi sebagai antara Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu mendepani cabaran COVID-19. SOP pelaksanaan program penutup kursus ini juga akan dijadikan sebagai garis panduan di samping mengenalpasti penambahbaikan dari semasa ke semasa.