Kemaskini Terakhir: Rabu,21 Okt 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

123456

12 Jun 2020 - Pesawat C130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No. 20 Skn, Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan penerbangan bagi Misi Repatriasi Rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina pada 11 Jun 2020. Rakyat Malaysia tersebut terkandas disebabkan oleh kuarantin komuniti dan perintah "lockdown" oleh kerajaan Republik Filipina untuk menangani pandemik COVID-19 di negara tersebut.

Ekoran daripada perintah “lockdown” tersebut, semua penerbangan komersial antarabangsa dan domestik telah diberhentikan. Justeru, dengan usahasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengaturgerak pesawat TUDM bagi membawa pulang seramai 81 orang rakyat Malaysia yang terkandas di sana. Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang kesemuanya adalah penduduk negeri Sabah. Ianya dilaksanakan atas dasar mengambil kira faktor keselamatan rakyat Malaysia serta situasi semasa di negara berkenaan.

TUDM yang sentiasa siap siaga telah berjaya melaksanakan misi tersebut dengan jayanya berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Markas Pemerintahan Operasi Udara. SOP ini digunakan bagi melaksanakan setiap misi sebegini ketika negara mula-mula dilanda wabak COVID-19.

Misi Repatriasi Rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina melibatkan warga kerja TUDM dari Pangkalan Udara Subang khususnya Cabang Pergerakan Udara, anak kapal dari No. 20 Skuadron serta pegawai dan petugas perubatan dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP) yang dipertanggungjawabkan bagi menentukan keperluan saringan kesihatan serta keperluan perubatan yang khas telah melaksanakan misi ini. Turut sama dalam misi ini adalah doktor dan staf perubatan dari Hospital Queen Elizabeth. Petugas yang terlibat dengan misi ini turut dilengkapi dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi memastikan mereka bebas dari terdedah kepada sebarang jangkitan virus.

789101112

Pesawat Hercules C130 TUDM telah berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada jam 10. 11 pagi semalam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga pada jam 12.02 tengah hari. Pengurusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga mengambil masa lebih 3 jam sebelum pesawat C130H berlepas pada jam 3.25 petang untuk membawa kesemua rakyat Malaysia ke Kota Kinabalu. Pesawat C130H selamat tiba di Lapangan Terbang KKIA 2 pada jam 4.25 petang. Pesawat pengangkut C130H ini juga turut dipastikan disinfeksi sepenuhnya selepas selesai misi manakala semua tim petugas yang terlibat turut dipastikan melalui proses perubatan dan kuarantin selepas selesai misi bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

Misi Repatriasi ini telah diketuai oleh Kol (Dr) Saravanan Annamalai (Mission Commander) dari IPP. Pesawat C130H ini telah diterbangkan oleh Mej Muhammad Izwanshah bin Azman TUDM dan dibantu oleh anak kapal No. 20 Skn terdiri daripada Mej Mohd Azrin bin Zaihari TUDM, Kapt Muhammad bin Sujangi TUDM, Kapt Nor Sazmil bin Nor Azman TUDM serta Kuarter Master Udara (Air Quarter Master) iaitu FSjn Wahiyudin bin Wahid dan Sjn U Muhamad Anuar bin Mohd Yusoff. Manakala Tim Perubatan dari IPP, PU Subang pula turut disertai oleh Mej (Dr) Adif Faidz bin Daud dan seorang staf pembantu perubatan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pegawai dan anggota TUDM yang terlibat termasuk dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), kementerian-kementerian yang terlibat terutama KLN dan KKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Malaysia Airlines Berhad Kota Kinabalu serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam memastikan misi ini berjaya dilaksanakan dengan selamat dan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Kejayaan pelaksanaan misi ini juga membuktikan hubungan diplomatik dan kerjasama antarabangsa yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Republik Filipina.