Kemaskini Terakhir: Sabtu,31 Okt 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

123456

Subang, 26 Ogos 2020 - Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini telah melaksanakan Program “Tools Down Day” 2020 yang buat julung kalinya dilaksanakan secara serentak di seluruh pangkalan/unit TUDM dengan menggunakan pendekatan persidangan video (video conference). Program perasmian ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM bertempat di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang sebagai lokasi utama.

Objektif utama penganjuran program ini adalah bagi memperkasakan budaya kerja berteraskan keselamatan di kalangan warga TUDM. Ianya seiring dengan aspirasi Panglima Tentera Udara yang diterjemahkan di dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke 19 pada 7 Jan 2020. Program ini merupakan satu inisiatif pro-aktif bagi mengutarakan keprihatinan pucuk pimpinan tertinggi TUDM terhadap kemalangan aset-aset TUDM yang berkemungkinan turut berpunca daripada "Human Factor" atau kecuaian manusia.

7810

Program secara persidangan video buat pertama kali ini telah menggunakan aplikasi Webex yang menghubungkan pangkalan udara/unit TUDM di seluruh Malaysia. Penggunaan aplikasi ini secara atas talian bukan sahaja memudahkan pemantauan pucuk pimpinan tertinggi malah ianya lebih selamat selari dengan usaha kerajaan dalam mengekang penyebaran pandemik Covid-19 di samping penyesuaian kepada norma dan prosedur baharu berikutan mendepani cabaran wabak berbahaya tersebut.

111213141617

Di dalam program ini, setiap pangkalan udara/unit diperuntukkan lima (5) sehingga 15 minit bagi mengulas tentang program keselamatan yang sedang dijalankan di pasukan masing-masing secara lintas langsung. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah FOD Sweep, Ceramah Kebakaran, Ceramah COVID-19, Ceramah keselamatan Jalan Raya, pameran serta demonstrasi mencegah kebakaran dan menyelamat nyawa. Turut diadakan adalah sesi dialog Panglima Tentera Udara bersama warga pangkalan bagi pangkalan udara yang terpilih. Di dalam sesi dialog ini, warga TUDM berpeluang untuk berinteraksi dalam mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada pucuk pimpinan tertinggi TUDM secara terus berkenaan permasalahan atau penambahbaikan dari aspek keselamatan.

1920

Lebih membanggakan adalah program Tools Down Day peringkat TUDM ini juga dijayakan dengan kerjasama dan penyertaan daripada agensi-agensi luar TUDM, hasil inisiatif pegawai keselamatan pangkalan dan unit TUDM. Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Kecemasan Hospital Nukleus Labuan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Kelantan, Pusat Kesihatan Kuala Langat, Jabatan Pengangkutan Jalan Padang Jawa Shah Alam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Banting, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Johor Bharu, Arro Crime Safety Consultancy Sdn. Bhd., Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Muadzam Shah, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Jabatan Keselamatan Raya Negeri Perak, Bank Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh Perak, Agensi Dadah Kebangsaan Negeri Perak, Airport Fire Rescue Service KLIA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Banting dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Puchong

Panglima Tentera Udara di dalam ucapan perasmian, menyatakan harapan beliau agar program yang dilaksanakan akan dapat memupuk nilai kesedaran dalam kalangan warga TUDM tentang pentingnya aspek keselamatan dalam kehidupan seharian. Selain itu juga, program ini perlu dijadikan sebagai salah satu medium nilai tambah kepada pengetahuan serta pendedahan kepada semua warga TUDM tentang pengamalan budaya keselamatan dalam tugasan harian.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih atas penganjuran program keselamatan oleh Inspektorat TUDM yang dapat dijayakan secara serentak di semua pangkalan/unit TUDM, melibatkan semua peringkat anggota serta mendapat sambutan dan penglibatan yang baik dari semua pihak. Adalah menjadi hasrat pimpinan tertinggi TUDM agar dapat mewujudkan kesedaran pemikiran di kalangan warganya supaya dapat mengubah budaya kerja ke arah yang lebih selamat dan sihat pada masa hadapan dan menjadikan 'Budaya Kerja Selamat' sebagai amalan berterusan di kalangan warga TUDM.

Panglima Tentera Udara juga menegaskan bahawa pengurusan dan pengoperasian TUDM yang lain juga perlu diteruskan dengan penekanan kepada “Safety Management System” (SMS) dan mengadaptasi beberapa pendekatan baharu seperti berinteraksi secara ‘Virtual’ atau ‘online’, menguatkuasa Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan semasa bertugas, melakukan sanitasi di dalam pesawat dan beberapa pendekatan ‘new norm’ yang lain. Semua peringkat warga TUDM bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing demi memastikan TUDM sentiasa bersiap sedia sebilang masa, bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun TUDM ke-62 iaitu “Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga”.

Turut hadir di pelancaran program ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM, Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato' Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta beberapa pegawai kanan dan anggota TUDM.