Kemaskini Terakhir: Selasa,27 Okt 2020
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

234589

ALOR SETAR, 9 Okt 2020 – Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 81/18 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 60/18 telah diadakan secara kebiasaan baharu (norma baharu) bertempat di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar. Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM kepada 38 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) yang terdiri daripada lapan (8) orang calon juruterbang pesawat pejuang, 15 orang calon juruterbang pesawat angkut dan 15 orang juruterbang helikopter yang bakal berkhidmat di dalam ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia.

10113141516

Bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pelatih, tiga (3) piala telah dipertandingkan iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Piala Nuri (Terbaik Keseluruhan Helikopter) dan Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik). Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Lt Mohamad Faiz bin Hazmi TUDM, anak kelahiran Ipoh, Perak dan graduan UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal telah dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara. Bagi Piala Nuri (Terbaik Keseluruhan Helikopter) telah dianugerahkan kepada Lt Mohamad Izzat bin Rusli TUDM, dari Kemaman Terengganu, juga graduan UPNM dalam jurusan Sains Komputer Pertahanan. Bagi Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik) pula telah dianugerahkan kepada Lt Sanggethiran A/L Ganesan TUDM yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur dan graduan UPNM di dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

171819202122

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang berjaya menamatkan kursus masing-masing. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM serta warga KTU khususnya jurulatih INSPEN 1 dan INSPEN 2 serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak kerana KTU sekali lagi berjaya melahirkan juruterbang-juruterbang dan sekaligus perwira-perwira negara yang bakal berjuang dan mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta.

232427282930

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan keluarga para pelatih yang telah memberikan dorongan, motivasi, doa dan menjadi tulang belakang serta semangat di atas kejayaan para graduan sehingga dianugerahkan Sayap Penerbangan meskipun mereka tidak dapat menghadiri majlis ini berikutan langkah-langkah pencegahan pandemik COVID-19. Hari ini menjadi saksi detik bersejarah kerana segala pengorbanan dan curahan tenaga serta keringat selama ini telah terbukti. Namun masih banyak dugaan dan suasana yang berbeza dan lebih mencabar yang bakal ditempuhi di masa hadapan sebagai juruterbang-juruterbang operasi yang berstatus “combat ready”. Panglima Tentera Udara juga memberikan kata-kata semangat agar mereka semua menghadapi segala yang akan ditempuhi kelak dengan kegigihan, ketabahan, disiplin dan semangat juang yang tinggi, membudayakan nilai teras TUDM (Integriti, keberanian, kecemerlangan, Esprit De Corps atau setiakawan dan mengutamakan perkhidmatan) serta “Ground Rules PTU” bagi melaksanakan misi memelihara kedaulatan negara.

313233343536

Beliau turut menekankan kompetensi setiap juruterbang di dalam menghadapi peperangan udara era moden yang bersifat dinamik yang mana kemampuan dan kepakaran dalam mengendalikan aset-aset yang serba moden dan berteknologi tinggi adalah satu kemestian. Faktor ini selari dengan pelan rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) dengan perancangan perolehan aset-aset baharu demi memastikan TUDM sebagai angkatan udara yang kekal berupaya dan bersiapsiaga mempertahankan kedaulatan ruang udara negara dan menjamin TUDM sebagai kuasa udara yang unggul.

Turut serta di majlis bersejarah ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; pegawai-pegawai kanan TUDM. Turut dijemput khas mewakili TDM ialah Brig Jen Dato’ Haji Mohd Halim bin Khalid, Panglima Markas Briged Keenam Infantri Malaysia dan Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib, Panglima Udara TLDM, Markas Udara TLDM mewakili TLDM. Majlis kali ini berlangsung secara norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 serta tanpa kehadiran keluarga pelatih.