Kemaskini Terakhir: Sabtu,19 Okt 2019
A- A A+

logo

nextgen

 
mygov2
mindef
atm
army
navy
msc

DSC 0072DSC 0105DSC 0126

SUBANG, 30 Sep 19 - Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan Perbarisan Bulanan Komander Pangkalan bertempat di Padang Kawad Markas Pangkalan. Perbarisan yang terdiri daripada 150 Pegawai dan anggota LLP ini telah diketuai oleh Mej Azhar bin Ajis TUDM dan turut diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM.

Dalam perbarisan ini telah dilaksanakan dua Upacara Serah Terima Tugas iaitu Serah Terima Tugas Pegawai Laksana Pangkalan di antara Kol Mohd Azwan bin Mohd Pohari TUDM bersama Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM dan juga Serah Terima Tugas Pegawai Waran Pangkalan di antara PW U I Amly bin Ibrahim bersama PW U I Muhamad Iswadi bin Ismail.

Selain dari itu juga, pada perbarisan kali ini turut menyaksikan upacara Pemakaian Pangkat kepada 18 anggota LLP pangkalan, penyampaian Sijil Kepujian Panglima Tentera Udara kepada anggota pangkalan dan juga Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Sukan kepada wakil sukan Skuasy, Ping Pong dan Bola Jaring yang telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan antara pangkalan TUDM yang dilaksanakan pada tahun ini.

Dalam ucapan Komander Pangkalan, Mej Jen Dato' Hj Muhammad Mudzamir Ong bin Abdullah TUDM telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mantan Pegawai Laksana Pangkalan dan Mantan Pegawai Waran Pangkalan. Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Pegawai Laksana Pangkalan yang baharu serta Pegawai Waran Pangkalan yang baharu. Dalam ucapannya juga, Komander Pangkalan turut memetik beberapa perkara penting daripada ucapan Panglima Angkatan Tentera sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun ATM ke-86 di KD Pelanduk TLDM Lumut yang lepas.

Komander Pangkalan turut mengingatkan kembali semua warga pangkalan berkenaan Direktif Panglima Tentera Udara Nombor 15 iaitu Garis Panduan Kawalan Media Sosial dalam TUDM. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan agar semua warga pangkalan agar lebih peka dan sensitif terhadap aset-aset ketenteraan, lokasi-lokasi strategik dan maklumat-maklumat berdarjah daripada disiarkan di media sosial. Komander Pangkalan turut mengambil kesempatan menyampaikan arahan terbaru Panglima Wilayah Udara 1 berkenaan Arahan Penugasan Pengawal Malam bagi semua anggota berpangkat Koperal ke bawah daripada semua ketukangan di pangkalan. Arahan tersebut akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi di Pangkalan Udara Subang.

Setelah selesai perbarisan di Padang Kawad Pangkalan, majlis diteruskan dengan majlis jamuan di Dewan Ababil bagi meraikan mantan Pegawai Laksana Pangkalan dan mantan Pegawai Waran Pangkalan. Majlis ini dihadiri oleh Komander Pangkalan serta isteri, pegawai-pegawai kanan pangkalan, AJK BAKAT PU Subang serta 300 warga pangkalan.