TUDM LAKSANAKAN PENERBANGAN IHSAN

2 4 1
5 6 3

 

SUBANG, 23 Mac 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi perempuan dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan rawatan dengan segera di Institut Jantung Negara (IJN).

Bayi perempuan berkenaan iaitu adik Nur Almira Auni binti Abdullah mengalami masalah jantung ‘anomalous left coronary artery form the pulomonary artery (ALCAPA) with server MR’ dan ‘pilmonary hemorrhage secondary to APO, cover for pneumonia with platelet clumping'. Bayi berkenaan sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique bin Mohd Amin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Ubaidullah bin Wan Hanapi TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah tiga (3) ‘Loadmaster’ iaitu Flait Sarjan Abdul Rahman bin Sumsudin, Sarjan Udara Mohd Nain bin Kamijan serta Sarjan Udara Zaiakmalhisam bin Zainal serta beberapa kru teknikal yang diketuai oleh Mejar Muhammad Hazim bin Ali TUDM.

Pesawat A400M tersebut berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 2.50 petang dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 7.00 malam. Turut mengiringi adik Nur Almira Auni dalam penerbangan ini adalah ibu kepada bayi berkenaan, Puan Satira binti Ayuh serta seorang pegawai perubatan iaitu Dr. Lo Chai Ling.

Seluruh warga TUDM mendoakan supaya bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan adik Nur Almira Auni.

Selain itu, pesawat A400M itu juga turut melaksanakan penerbangan ihsan (bodevac) bagi membawa pulang jenazah seorang kontraktor yang bertugas di premis PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd. iaitu Allahyarham Muhammad Aizat bin Salehudin untuk dikebumikan di kampung halamannya yang terletak di Kemaman, Terengganu. Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21 Mac 2021 di kediaman sementara di Kampung Sungai Keling, WP Labuan.

TUDM merakamkan ucapan takziah kepada waris di atas pemergian insan tersayang. Semoga segala urusan pengkebumian berjalan dengan lancar dan didoakan roh Allahyarham ditempatkan bersama hambaNya yang beriman.