TUDM MELAKSANAKAN PENERBANGAN IHSAN BAWA SEORANG KANAK-KANAK DAN BAYI PERLUKAN PEMBEDAHAN JANTUNG DI IJN

1 2 3
4 5

 

SUBANG, 1 Februari 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki dan bayi perempuan dari Kuching, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Kanak-kanak lelaki berkenaan iaitu adik Faaed bin Faizal, berusia 2 tahun mengalami masalah jantung ‘Severe Mitral Regurgitation On Non-Invasive Ventilation’, manakala bayi perempuan, Dollyn Ting Xiang Ling berusia dua (2) bulan mengalami masalah ‘Large Ventricular Septal Defect, Severe Coarctation Of Aorta’. Kedua-dua pesakit sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut C130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Aliff bin Samsuddin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Muhammad Nursaidi bin Mohd Dzali TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mej Mohd Helmee bin Mostapa TUDM; Jurumalim, Kapten Sazmil bin Nor Azman TUDM; tiga(3) ‘Loadmaster’, Pegawai Waran II U Jonas Gama, Sarjan U Muhammad Zairizuan bin Zainuddin serta Sarjan U Mohd Hanif bin Hashin dan seorang pramugari, Flait Sarjan (W) Kiranjit Kaur a/p Jagir Singh.

Pesawat tersebut berlepas dari Kuching pada jam 1.36 petang dan selamat tiba di Subang pada jam 3.39 petang. Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah ibu kedua-dua pesakit berserta seorang pegawai perubatan iaitu Dr. Nurul Asyikin binti Rosli. Kedua-dua pesakit terus dibawa menaiki ambulans sejurus tiba di sini.

Penerbangan ihsan dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam menunaikan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.

Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kedua-dua pesakit berkenaan menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membolehkan pesakit mendapat rawatan pakar dengan segera.