TUDM MELAKSANAKAN PENERBANGAN PENGHANTARAN PERALATAN PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT (PPE) BAGI KEGUNAAN PETUGAS OP BENTENG DI SABAH

1 1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUALA LUMPUR, 27 November 2020 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan penerbangan membawa pelbagai jenis peralatan PPE yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (National Disaster Management Agency) atau NADMA kepada National Task Force (NTF) bagi kegunaan petugas barisan hadapan (frontliners) yang terlibat di dalam Operasi BENTENG di Sabah.

Antara barangan dan peralatan yang dibawa menerusi penerbangan TUDM ini adalah seperti pelitup muka (face mask) sebanyak 750,000 helai (750 kotak), cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) sebanyak 8,000 botol setiap botol isipadu 500ml (400 kotak) dan pelindung muka (face shield) sebanyak 8,000 keping (40 kotak).

Keperluan kelengkapan PPE ini telah dihantar ke tiga daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan yang mana akan diagihkan kepada 12 agensi NTF yang terlibat dalam melaksanakan tugas Op BENTENG di daerah-daerah tersebut.

Terdahulu, telah berlangsung satu Majlis Penyerahan Personal Protective Equipment (PPE) Op BENTENG di antara Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin bin Hashim kepada Komander NTF, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Hj Mohd Rabin bin Basir bertempat di Pangkalan Udara Subang. Majlis ini adalah sebagai simbolik penyerahan peralatan-peralatan PPE tersebut sebelum diterbangkan ke Sabah oleh TUDM.

Turut hadir dalam majlis ini Wakil Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral (Dr) Mohammed Haizar bin Haji Haron, Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Omar bin Haji Dawami TUDM serta pegawai-pegawai dari NTF, ATM, MKN dan NADMA.

Dalam penerbangan ini juga, TUDM turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa peralatan-peralatan perubatan bagi kegunaan pusat kesihatan di negeri Sabah. Manakala dalam penerbangan pulang, pesawat TUDM tersebut turut membawa sampel-sampel COVID-19 yang diterima dari Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan yang mana sampel berkenaan diserahkan kepada KKM sebaik tiba di Pangkalan Udara Subang bagi dihantar ke makmal-makmal di semenanjung.

Penerbangan ini telah menggunakan sebuah pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Arhamar TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Amir TUDM bersama tiga (3) orang ‘Loadmaster’ iaitu FSjn Hairy, Sjn U Taridi dan Sjn U Amsyar serta dua (2) orang ‘Supplementary Crew’ iaitu FSjn Shahbani dan LUK Zulfikri.

TUDM tetap komited di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan terutama di dalam situasi ketika negara kini turut berdepan dengan pandemik Covid-19. Tanggungjawab yang dilaksanakan TUDM ini bagi membantu ke arah kelestarian kesejahteraan rakyat dan negara termasuk fokus bagi melindungi petugas barisan hadapan iaitu operasi NTF yang turut berdepan dengan risiko ancaman musuh yang nampak mahupun tidak nampak seperti ancaman Covid-19.

Terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat menjayakan misi pada hari ini. Semoga jaringan kerjasama yang baik dan usaha bersepadu ini diteruskan dan ditambahbaik demi memastikan petugas barisan hadapan negara dapat terus menaburkan khidmat bakti dalam menjaga kedaulatan tanahair dan dalam masa yang sama kesihatan mereka juga tetap diambilberat.