PROFIL TIMBALAN PANGLIMA TENTERA UDARA

Image

LEFTENAN JENERAL DATO' INDERA HAJI MUHAMAD NORAZLAN BIN ARIS TUDM

SIMP PSAT DIMP PAT KAT KMN AMN PJM PPS PPA rcds (UK)

MARPOL (Aus) Dip Strat (UM) psc fwi jt

TIMBALAN PANGLIMA TENTERA UDARA
TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA

Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah dilahirkan di Kota Tinggi Johor pada 9 November 1967. Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula setelah menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi pada tahun 1985 sehingga 1987.

Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah memulakan latihan penerbangan pada tahun 1988 di TUDM Alor Setar dan setelah tamat latihan tersebut beliau terpilih untuk menerbangkan pesawat pejuang. Di sepanjang kerjaya, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB339A, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM jurulatih pesawat MB339A, MiG-29N/UB dan Sukhoi 30MKM.

Di sepanjang perkhidmatannya, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih. Antaranya adalah Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang di No 1 Div Udara, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron Su-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf P&P, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara, Panglima Operasi Udara dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada 28 Jun 2022.

Di dalam mencapai kecemerlangan pendidikan dan peningkatan pengetahuan, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara. Antaranya adalah Kursus Staf Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Kuala Lumpur, Kursus Fighter Weapon Instructor (FWI) di International Test Pilots School Ltd (ITPS Canada), Kursus Higher Defence Orientation di Army War College, MHOW, India, Kursus Strategic Studies di Royal College of Defence Studies (RCDS) di United Kingdom. Beliau berkelulusan Diploma in Strategic & Defence Studies, Universiti Malaya (2001), Master of Maritime Policy di University of Wollongong, Australia (2012) dan International Security and Strategic Leadership Studies di United Kingdom.

Sebagai menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan dan negara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah dianugerahkan pelbagai Darjah Kebesaran dan Pingat dari Persekutuan, Negeri dan ATM antaranya Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Kesatria Mangku Negara (KMN), Ahli Mangku Negara (AMN), dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Di samping itu, beliau juga telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak lima (5) kali iaitu semasa berpangkat Kapt TUDM, Mej TUDM, Lt Kol TUDM, Kol TUDM dan Brig Jen TUDM.

Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Indera Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor pada 19 Ogos 1994. Pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata perempuan. Waktu lapang beliau sering digunakan untuk melakukan aktiviti riadah dan melancong.