LAWATAN KERJA PANGLIMA TENTERA UDARA KE PANGKALAN UDARA BUTTERWORTH DAN PUSAT HOSPITALITI TENTERA UDARA

1 2 4
5 6 7

 

TANJUNG BUNGAH, 21 Jan 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah mengadakan lawatan kerja dua (2) hari ke Pangkalan Udara Butterworth dan Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU) bermula 20 hingga 21 Jan 22. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi beliau bagi memastikan tahap kesiagaan setiap pangkalan dalam keadaan yang baik. Turut serta di dalam lawatan ini adalah isteri Panglima Tentera Udara, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU).

Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi pada 20 Jan 22 di Pangkalan Udara Butterworth telah disambut oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM serta isteri, Puan Ros Hana binti Ariffin selaku Pengerusi BAKAT Udara PU Butterworth dan kumpulan Eksekutif Pangkalan. Aktiviti lawatan dimulakan dengan penyampaian sumbangan kebajikan kepada Mej Mohd Fareez bin Omar TUDM yang mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang akibat kemalangan pesawat Hawk 108 yang lalu.

8 9 10
11 12 13

 

Setelah itu, Panglima Tentera Udara melawat ke No. 3 Skuadron bagi majlis pengenalan dua(2) buah pesawat helikopter AW 139. Ketibaan Panglima Tentera Udara di hangar No. 3 Skuadron telah disambut oleh Pengawai Memerintah No. 3 Skuadron, Lt Kol Mohd Faizal bin Abdul Latif TUDM serta warga No. 3 Skuadron. Terdahulu No. 3 Skuadron telah mengoperasikan pesawat helikopter Sikorsky S-61 atau lebih dikenali sebagai Helikopter Nuri. Setelah pengoperasian Helikopter Nuri ini tidak diteruskan, No. 3 Skuadron kini telah menerima dua (2) buah pesawat helikopter AW 139 pada 4 Dis 21 dan dijangkakan akan menerima dua (2) buah pesawat helikopter jenis yang sama pada Feb 22 dan Apr 22. Penerimaan pesawat helikopter AW 139 secara sewaan ini adalah berkonsepkan 'Government Operate, Company Own and Maintain' (GOCOM) dari pihak Westar Aviation Services Sdn. Bhd. Kini, No. 3 Skuadron masih di dalam fasa latihan yang melibatkan 8 orang Juruterbang dan 4 orang Kuartermaster Udara di PWN Excellence, Subang.

Panglima Tentera Udara seterusnya melawat Hornet Readiness Centre (HRC) bagi melihat sendiri keadaan pesawat F/A-18D Hornet dari No. 18 Skuadron yang sedang menjalani proses baikpulih di bawah program Local Planned Maintenance 12 Years (LPMY12). Selesai taklimat berkenaan pesawat, beliau kemudiannya meluangkan masa bagi Sesi Dialog bersama Pegawai - pegawai PU Butterworth di Auditorium No. 18 Skuadron. Sebagai Pucuk Pimpinan Tertinggi TUDM, adalah menjadi tanggungjawab beliau dalam memberi nasihat dan peringatan agar warga pangkalan sentiasa bersedia dalam apa jua situasi yang mendatang. Beliau menegaskan agar seluruh warga TUDM amnya mempunyai sikap 'Be able to adapt' yang bermaksud sentiasa menyesuaikan diri dengan keadaan semasa agar organisasi TUDM sentiasa di landasan yang tepat dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara. Beliau juga turut memperingatkan agar sentiasa berfikiran ke hadapan. Ini penting bagi menjadikan TUDM sentiasa bersiap siaga selari dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM yang dikenali sebagai "CAP 55". Bagi menjadikan TUDM sebagai Kuasa Udara yang Unggul, beliau menegaskan agar setiap lapisan Warga TUDM perlu bekerjasama seperti mana yang termaktub di dalam Nilai Teras TUDM yang ke-4 iaitu 'Esprit de Corps' dan sentiasa memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

14 15 16
17 18 19

 

Serentak di dalam program ini ialah program lawatan oleh BAKAT JTBU yang menumpukan kepada lawatan kebajian. Pengerusi JT BAKAT Udara telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada tiga(3) ahli BAKAT Udara PU Butterworth yang ditimpa musibah banjir tahun lalu. Turut berlangsung ialah sesi dialog dan ramah mesra di antara Pengerusi dan ahli JTBU bersama ahli BAKAT Udara PU Butterworth. Di sesi ini, Pengerusi JTBU mengingatkan agar semua ahli-ahli BAKAT Udara agar sentiasa memupuk kerjasama di antara satu sama lain. Beliau juga mengingatkan agar sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah. Di akhir ucapan, beliau mengingatkan kepada semua ahli-ahli BAKAT Udara agar kembali kepada teras utama penubuhan BAKAT iaitu al As mengutamakan soal kebajikan.

Pada lawatan kerja hari ke-2 Panglima Tentera Udara diteruskan lagi dengan lawatan kerja ke Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU), Tanjung Bungah. Penubuhan PHU di lokasi yang sebelum ini menempatkan Sekolah Ikhtisas Tentera Udara (SITU) atau kini dikenali sebagai Institut Kepimpinan dan Pengurusan (INSKEP), kini berwajah baru berperanan sebagai pasukan yang memberikan bantuan logistik dan pentadbiran kepada Sekolah Kulinari dan Hospitaliti (SKH) TUDM. PHU juga bertindak sebagai satu entiti platform pelaksanaan bengkel/seminar TUDM. Tanggal 21 Januari 2022 mencipta sejarah kepada TUDM apabila, Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan perasmian PHU dengan secara rasminya setelah ia mula beroperasi sejak 1 Oktober 2020. Sebagai sebuah platform pelaksanaan bengkel dan seminar TUDM, adalah menjadi kewajipan PHU menyediakan prasarana dan hospitaliti yang terbaik bagi memastikan keselesaan peserta dan kelancaran kursus/bengkel/seminar yang dirancang. Panglima Tentera Udara turut melihat sendiri bilik-bilik penginapan dan fasiliti yang disediakan. Beliau memuji dan amat berpuashati dengan penyediaan bilik dan fasiliti yang dibekalkan mengikuti arus pemodenan.

20 21 22
23 24 25

 

Selesai majlis perasmian, beliau telah dibawa melihat Sekolah Kulinari dan Hospitaliti (SKH) yang melahirkan para chef TUDM. SKH yang sebelum ini bertempat di Akademi Tentera Udara (ATU), kini telah berpindah ke PHU bermula awal Jan 2021. Kini SKH telah disediakan dengan kemudahan fasaliti dan peralatan yang lengkap.

Sementara itu, Pengerusi JTBU bersama delegasi lawatan telah dibawa ke Dewan Khalid Al-Walid bagi menyempurnakan acara lawatan ke BAKAT Udara PHU. Puan Sri Norainy telah menyampaikan sumbangan kebajikan buat adik Muhammad Zareef Zakwan yang mengidap sakit kronik ketidakupayaan fizikal (microcephaly) sejak lahir. Adik Zareef Zakwan perlu menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Pulau Pinang setiap bulan. Aktiviti diteruskan dengan dialog bersama ahli-ahli BAKAT Udara PHU. Di sesi ini Pengerusi JTBU menyampaikan hasrat beliau agar ahli BAKAT Udara sentiasa mengingati teras utama penubuhan BAKAT dan sentiasa bekerjasama dan merapatkan ukhuwah di antara satu sama lain.

Turut serta di lawatan ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM; AKS Perancangan dan Pembangunan, Mej Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; AKS Tadbir, Brig Jen Dato' Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat, Brig Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.