SUBANG, 16 Oktober 20 - Anggota Cabang Pergerakan Udara Subang hari ini sibuk melaksanakan tugasan penerimaan kelengkapan Hospital Medan ATM yang akan diterbangkan ke Tawau esok menggunakan pesawat angkut A400M.
Penghantaran pada hari ini telah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD). Hospital Medan ini akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau yang mana mempunyai kapasiti 100 katil termasuk 4 katil ICU bagi memberi rawatan khusus kepada kes-kes selain Covid-19.
Kelengkapan Hospital Medan ini telah disimpan di dalam gudang kargo terlebih dahulu bagi dilaksanakan “palletizer” atau menempatkan barang pada palet secara teratur sebelum dimasukkan ke dalam badan pesawat esok.
Dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada anggota Cabang Pergerakan Udara Subang, kesemua proses berjaya dilaksanakan dengan lancar dan selamat.