KURSUS PENGURUSAN JENAZAH AKADEMI TENTERA UDARA

IMG 20220615 WA0051 IMG 20220615 WA0050 IMG 20220615 WA0029
IMG 20220615 WA0019 IMG 20220615 WA0027 IMG 20220615 WA0041

 

IPOH, 15 Jun 22 - Ketua Cawangan Tadbir Akademi Tentera Udara (ATU), Lt Kol Zakeman bin Abdul Ghani TUDM telah mewakili komandan ke Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1/22 bertempat di Surau Al-Hawaiyyah, ATU bagi tahun 1443H/2022M hari ini. Program yang telah diilhamkan oleh Kol Junairi bin Baharom TUDM selaku Komandan ATU ini menyediakan beberapa aspek pembelajaran untuk pengetahuan berkaitan pengurusan jenazah.

Kursus yang berjalan selama sehari ini melibatkan penyertaan seramai 35 orang peserta kursus yang terdiri daripada staf ATU serta sepuluh (10) orang wakil daripada ahli BAKAT ATU. Cetusan idea bagi aturcara sepanjang program ini dibincangkan secara kolektif oleh barisan kepimpinan ATU, diketuai oleh Komandan Akademi. Peserta telah didedahkan dengan pembelajaran secara teori dan amali yang merangkumi persiapan sebelum kematian, cara-cara memandikan serta mengkafankan jenazah, kaifiat solat jenazah dan pengurusan di perkuburan.

IMG 20220615 WA0032 IMG 20220615 WA0043 IMG 20220615 WA0048

 

Program ini merupakan salah satu modul yang terkandung dalam Pelaksanaan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian Islam (DPMKI) Angkatan Tentera Malaysia. Program seumpama ini amat wajar untuk diteruskan bagi memberi kesedaran dan nasihat kepada warga tentera beragama Islam terhadap ilmu keagamaan serta isu-isu masyarakat serumpun yang sering dinyatakan dalam paparan media masa kini. Ilmu pengurusan jenazah amat perlu untuk dipelajari kerana ia merupakan salah satu fardu kifayah untuk umat Islam. Keseluruhan program dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.