![]() |
![]() |
![]() |
KUCHING, 11 Sep 26 – Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari ATM Ke-93 Peringkat Pangkalan Udara Kuching Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Surau Al-Jahirah Pangkalan Udara Kuching Kuching.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat, seterusnya disusuli dengan penyampaian khutbah khas dan pelaksanaan Solat Jumaat. Pengisian kerohanian ini menjadi wadah kepada warga ATM untuk menzahirkan rasa syukur serta memohon keampunan, keberkatan, keselamatan dan kekuatan daripada Allah SWT dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Khutbah Jumaat Khas bertemakan “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara” telah disampaikan oleh Pegawai Agama Pangkalan, Lt Ahmad Mustaqim bin Ahmad Tardzimi. Khutbah tersebut turut menekankan kepentingan ketahanan fizikal, mental dan spiritual sebagai asas dalam membentuk warga ATM yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi.
Penganjuran majlis turut mencerminkan penghayatan terhadap Tonggak Pertama Perintah Ulung PAT Ke-24, “Warga Berakhlak Tinggi, Tersemai Iman di Sanubari”, yang menekankan kepentingan pembentukan sahsiah, pengukuhan mental dan kerohanian serta pemantapan nilai moral dan etika dalam kalangan warga ATM.
Seiring dengan perjalanan 93 tahun penubuhannya, ATM kekal komited dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan memperkukuh kesiagaan dan keupayaan pertahanan. Dalam masa yang sama, kekuatan tersebut terus disandarkan kepada nilai iman, amanah, integriti dan kesetiaan yang menjadi tunjang kepada warga ATM dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Semoga pengisian kerohanian ini terus menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh jati diri serta menjadi sumber kekuatan kepada seluruh warga ATM dalam terus menjunjung amanah demi kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan Malaysia.






