![]() |
![]() |
![]() |
KUCHING, 9 Jul 2025 - Seorang kanak-kanak perempuan, Chelina Wyatt Anak Wulfstan Derussel berumur 1 tahun 11 bulan yang menghidap penyakit kronik, "Pulmonari Atresia" dengan jantung berlubang telah dibawa ke semenanjung bagi mendapatkan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) menerusi penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penerbangan tersebut menggunakan pesawat CN235-220M dari No. 1 Skuadron, Pangkalan Udara Kuching. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 10.00 pagi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang jam 1.00 tengah hari. Penerbangan tersebut dikendalikan oleh Mej Hafizan TUDM selaku juruterbang dan Kapt Hakimi TUDM sebagai pembantu juruterbang bersama dua Kuatermaster Udara iaitu Flait Sjn Jarofie dan Sjn U Faizal.
Misi ini merupakan satu daripada usaha berterusan TUDM dalam melaksanakan Military Operations Other Than War (MOOTW) serta menyokong agenda Civil-Military Cooperation (CIMIC) Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia. Ia mencerminkan peranan penting TUDM dalam membantu masyarakat awam dalam situasi kecemasan dan bukan konflik, termasuklah penghantaran pesakit, bantuan bencana dan misi kemanusiaan. Pelaksanaan penerbangan ihsan sebegini bukan sahaja menunjukkan kesiapsiagaan operasi TUDM, malah memperkukuhkan jalinan strategik antara angkatan tentera dan masyarakat awam.
TUDM sentiasa bersedia untuk digerakkan dalam pelbagai bentuk operasi demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara. Komitmen ini menjadi cerminan kepada nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan kepakaran ketenteraan yang dimiliki oleh warga udara dalam memastikan setiap misi berjaya dilaksanakan dengan selamat dan berkesan.
Seluruh warga TUDM mendoakan semoga adik Chelina Wyatt dipermudahkan segala urusan rawatan dan diberikan kesembuhan. Setiap misi penerbangan ihsan yang dilaksanakan ini menjadi bukti bahawa TUDM bukan sekadar benteng pertahanan udara negara, malah turut menjadi tonggak kepada usaha-usaha kemanusiaan dalam mendukung kesejahteraan rakyat Malaysia.