JEMAAH TERTINGGI BAKAT UDARA TERUS MEMFOKUSKAN LAWATAN KEBAJIKAN DALAM RANGKA LAWATAN KERJA RASMI KE PANGKALAN

1 2 3
4 5 6
7 8

 

GONG KEDAK, 10 Mac 21 – Serentak dengan Lawatan Kerja Rasmi Panglima Tentera Udara ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK), maka Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU), Puan Sri Norainy binti Shahar Alam juga terus melaksanakan lawatan kerja yang memfokuskan kepada lawatan kebajikan ke atas BAKAT Udara PUGK. Turut menyertai lawatan kebajikan selama dua (2) hari ini ialah ahli JTBU dan ahli BAKAT Udara iaitu Datin Lynette binti Mohamed selaku Penaung BAKAT Udara PUGK, Puan Farizan binti Fadzil, Puan Zahara binti Ahmad dan Puan Iezura binti Mustafa Afandi.

Ketibaan Puan Sri selaku Pengerusi JTBU di Rumah BAKAT ATU telah disambut oleh Pengerusi BAKAT Udara PUGK, Puan Haniza binti Mior Hashim, Ketua-ketua Biro serta AJK BAKAT Udara PUGK. Mematuhi prosedur operasi tetap (SOP) langkah pencegahan COVID-19, Puan Sri Norainy dan delegasi membuat saringan suhu badan terlebih dahulu sebaik tiba. Puan Sri Norainy dan delegasi telah diberikan taklimat yang merangkumi aktiviti yang telah dilaksanakan dan perancangan aktiviti BAKAT Udara pangkalan bagi tahun 2021.

Dalam rangka lawatan rasmi ini, Puan Sri Norainy dan delegasi telah mengadakan sesi dialog bersama ahli-ahli BAKAT Udara pangkalan bagi memberikan pencerahan, penjelasan dan hasrat ke arah memperkasakan fungsi BAKAT Udara secara holistik serta sebagai interaksi sosial perkongsian pandangan. Sejajar mendukung teras kelapan di dalam perintah ulung Panglima Tentera Udara dalam meningkatkan kepentingan dan fungsi BAKAT Udara yang menjadikan aspek kebajikan keluarga sebagai elemen utamanya.

Pada lawatan kerja kali ini, Puan Sri Norainy menyantuni lapan (8) anak-anak warga PUGK yang mengidap sakit kronik dan anak-anak istimewa serta menyampaikan sumbangan kebajikan dalam bentuk wang tunai serta barangan yang diadakan di rumah BAKAT Udara PUGK. Puan Sri Norainy juga turut melawat ke rumah kediaman anggota bagi menyampaikan sumbangan kebajikan kepada dua (2) anak ahli BAKAT Udara yang mengidap sakit kronik. Sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak mampu menjadi dorongan atas tanda keprihatinan BAKAT Udara serta membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka. Puan Sri Norainy dan delegasi juga melihat pameran kraftangan yang dihasilkan atas kreativiti ahli BAKAT Udara PUGK.

Pada hari kedua lawatan, Puan Sri Norainy selaku Pengerusi JTBU telah diberi penghormatan dan mencatatkan sejarah tersendiri kepada pangkalan dengan merasmikan Bangunan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) PERMATA KEMAS PUGK di Kompleks Pendidikan. Majlis ini turut dihadiri wakil daripada pihak Kemas Daerah Besut iaitu Puan Sharipah Farah binti Syed Hussain Shah. Dengan kewujudan TASKA di dalam kawasan pangkalan dan berhampiran dengan blok RKAT, maka pengoperasian TASKA ini kelak bakal memanfaatkan anak-anak warga PUGK termasuk tentera dan kakitangan awam.

Pengerusi JTBU dan delegasi turut dibawa melawat tempat memproses keropok yang sinonim dengan negeri Kelantan dan Terengganu sebagai pengeluar hasil Industri Kecil dan Sederhana (IKS) produk makanan seperti keropok lekor. Melalui jalinan kerjasama dengan IKS tempatan, BAKAT Udara turut mencari dan meninjau peluang untuk mengembangkan aktiviti yang memberikan faedah dan kelebihan kepada ahli-ahlinya malah boleh membantu menjana pendapatan dengan perancangan dan koordinasi yang baik seperti contoh Kedai Amal Shoppe.