LAWATAN KERJA RASMI PANGLIMA TENTERA UDARA KE REPUBLIK SINGAPURA ERATKAN JALINAN KERJASAMA BILATERAL TUDM-RSAF

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15
16 17 18
19 21 22

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah melaksanakan Lawatan Kerja Rasmi ke Republik Singapura khususnya ke atas Tentera Udara Republik Singapura atau Republic of Singapore Air Force (RSAF) bermula pada 22 hingga 23 Ogos 2023 baru-baru ini. Beliau yang selesai Lawatan Kerja Rasmi ke Indonesia meneruskan Lawatan Kerja Rasmi ke Republik Singapura. Lawatan kerja rasmi ini diiringi isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta turut disertai oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron serta Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Dr Norazrin bin Shamsudin TUDM dan isteri, Puan Suriati binti Samsudin.

Pesawat TUDM C130H yang membawa Panglima Tentera Udara dan delegasi tiba di Pangkalan Udara Paya Lebar disambut oleh Kolonel Sebastian Chai Gau Jun serta Penasihat Pertahanan Malaysia di Republik Singapura, Brigedier Jeneral Ahmad Fareed bin Ariffin dan Pembantu Penasihat Pertahanan, Mejar Mohd Syazwan bin Kamarudeen.
Lawatan kerja Panglima Tentera Udara adalah bagi mengeratkan hubungan diplomatik pertahanan dan memperkukuhkan kerjasama pertahanan khususnya di antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Republic of Singapore Air Force (RSAF) yang telah sekian lama terjalin.

Dalam rangka lawatan rasmi ini, Panglima Tentera Udara dan delegasi telah membuat lawatan ke Air Combat Command (ACC). Ketibaan beliau telah disambut oleh Brigedier Jeneral Lim Kok Hong, Commander Headquarters Air Combat dan disampaikan taklimat ringkas tentang pengoperasian serta melihat pameran statik pesawat F-15SG. Pada malamnya, beliau dan isteri serta delegasi diraikan di Majlis Makan Malam Rasmi anjuran Chief of Air Force, RSAF.

Pada hari kedua, Panglima Tentera Udara telah membuat lawatan ke Kementerian Pertahanan Republik Singapura serta diberi penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan. Ketibaan beliau dan delegasi disambut oleh Kolonel Sebastian Chai Gau Jun, Head of Air Intelligence; Brigedier Jeneral Teo Soo Yeow, Head of Air Operations; Kolonel Dean Tan, Penasihat Pertahanan Singapura di Malaysia dan Mejar Ronald Ho, Head of Air Relations.

Beliau seterusnya membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan, Mejar Jeneral Kelvin Khong, Chief of Air Force, RSAF. Panglima Tentera Udara turut membuat Kunjungan Hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera (CDF) Republik Singapura, Vice-Admiral (VADM) Aaron Beng di Ruang Tamu, Pejabat CDF.

Meneruskan lawatan rasmi, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah membuat Kunjungan Hormat ke atas Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr Ng Eng Hen di Pejabat Menteri Pertahanan.

Hubungan diplomatik di antara Singapura dan Malaysia khususnya melibatkan angkatan udara TUDM dan RSAF yang telah terjalin diperkukuhkan lagi adanya kerjasama bilateral dan pertahanan di peringkat strategik, operasi dan taktikal. Lawatan kerja yang dilaksanakan ini menzahirkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat antara kedua Angkatan Udara dan akan terus diperkasa khususnya di dalam menjaga keamanan serantau serta kedaulatan negara.