LAWATAN PENGENALAN PANGLIMA TENTERA UDARA KE INDONESIA BERTEMU RAKAN SEJAWAT DAN MEMPERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK TUDM-TNI AU

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15

 

JAKARTA, 8 Jul 2025 - Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah melaksanakan kunjungan hormat ke atas Kepala Staf Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (KASAU), Marsekal TNI M. Tonny Harjono, S.E., M.M., di Markas Besar TNI AU, Cilangkap, Jakarta semasa melaksanakan Lawatan Ulung beliau ke Indonesia setelah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21.

Lawatan selama dua hari bermula pada 7 hingga 8 Julai ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara dua angkatan udara serantau serta membincangkan kerjasama dua hala untuk masa akan datang. Panglima Tentera Udara turut diiringi isteri, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara bagi program bersama isteri KASAU TNI AU.

Ketibaan Panglima Tentera Udara telah disambut secara rasmi dengan diberi penghormatan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama di hadapan Bangunan R. Suryadi Suryadarma. Majlis diteruskan dengan menandatangani buku lawatan di Ruang Hening sebagai simbol penghargaan dan persahabatan antara kedua-dua negara.

Acara kemuncak bagi lawatan ini menyaksikan penganugerahan Sayap Penerbangan Kehormat Kelas I TNI AU kepada Panglima Tentera Udara oleh KASAU TNI AU. Anugerah ini merupakan penghormatan kepada Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Bin Aris TUDM di atas segala usaha kerjasama dan sumbangan dalam mempereratkan hubungan dua hala antara TUDM-TNI AU khususnya dalam bidang pertahanan udara dan peningkatan tahap kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan udara.

Dalam sesi kunjungan hormat, kedua-dua pemimpin angkatan udara turut bertukar pandangan berkenaan cabaran serantau, peluang kerjasama, pembangunan keupayaan sumber manusia serta pemantapan rangkaian komunikasi antara unit-unit udara. Perbincangan ini mencerminkan semangat kolaboratif yang berkembang dalam rangka diplomasi pertahanan berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.

Panglima Tentera Udara juga turut melaksanakan kunjungan hormat kepada TYT Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia. Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi telah disambut oleh Atase Pertahanan dan seluruh staf pejabat Pertahanan (MALAWAKIL Jakarta) di lobi Kedutaan Besar Malaysia Jakarta. Perbicangan Panglima Tentera Udara dan Duta Besar Malaysia ini turut menjurus kepada memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya melibatkan pertahanan.

Delegasi Panglima Tentera Udara dalam lawatan tersebut adalah Ketua Staf Wilayah Udara I, Brigedier Jeneral Wan Azwan Azwari Bin Wan Ali TUDM; Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri Bin Jamari TUDM serta Atase Pertahanan Malaysia di Jakarta, Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Bin Zulkaply dan Penolong Atase Pertahanan, Lt Kol Aznan bin Alias TUDM.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN