![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SERDANG, 4 September 2025 — Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini telah menyampaikan Syarahan Eksekutif kepada 1,927 kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang bakal ditauliahkan sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) ke-43, yang akan berlangsung minggu hadapan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam syarahan tersebut, beliau menekankan peranan penting PALAPES dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki semangat patriotisme, disiplin tinggi dan asas kepimpinan ketenteraan yang jitu.
“Kadet PALAPES bukan sekadar pelajar universiti, mereka adalah simbol penyatuan antara kecemerlangan akademik dan kesiapsiagaan pertahanan. Peranan mereka adalah untuk mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, tetapi merupakan amanah bersama,” kata Menteri Pertahanan.
Turut berlangsung ialah Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah kepada beberapa pemimpin universiti dan jabatan, sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkukuh kerjasama sivil-pertahanan negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM turut hadir bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam bin Hj Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain serta barisan kepimpinan tertinggi ATM, pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan wakil-wakil daripada pelbagai universiti awam seluruh negara ke majlis tersebut.
Penganjuran syarahan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh peranan PALAPES sebagai landasan penting dalam pembangunan modal insan negara yang berdaya saing dan bersedia menyumbang dalam aspek pertahanan serta keselamatan negara secara holistik.