SUBANG, 20 Mac 2021– Mesyuarat Agung Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU) Tahun 2021 telah dipengerusikan oleh isteri Panglima Tentera Udara yang juga merupakan Pengerusi JTBU, YBhg Puan Sri Noraini binti Shahar Alam pada hari ini bertempat di Rumah BAKAT JTBU. AGM turut dihadiri Penasihat BAKAT Udara iaitu AKS Tadbir, YBhg Brig Jen Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM serta Pengerusi BAKAT Udara di peringkat markas, pangkalan dan unit.
Pengerusi JTBU turut melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas kerjasama dan sokongan semua BAKAT Udara kepada beliau sejak beliau mengambil alih tugas sebagai Pengerusi JTBU pada Januari 2020. Beliau menyatakan fokus beliau untuk memberi penekanan kepada aktiviti kebajikan secara berterusan kepada ahli-ahli BAKAT Udara. Beliau juga berharap pada tahun ini BAKAT Udara markas, pangkalan dan unit mengambil kira aktiviti yang boleh melibatkan suami dan anak-anak agar dengan aktiviti yang dilaksanakan dapat mengeratkan lagi hubungan antara keluarga BAKAT Udara di pasukan masing-masing. Ianya juga bertepatan dengan konsep “Work Life Balance” dan kualiti masa bersama keluarga yang mengambil kira aspek kekeluargaan selain menumpukan tugas kepada kerjaya.
AGM BAKAT Udara kali ini juga turut mengambil kira perancangan aktiviti yang perlu dilaksanakan secara norma baharu mendepani cabaran Covid-19 yang mana terdapat aktiviti yang telah dibatalkan dan ditunda berikutan penularan wabak berbahaya tersebut pada tahun lepas. Pengerusi JTBU juga mengharapkan segala perancangan dan fungsi BAKAT Udara khususnya dalam aspek kebajikan keluarga diperkasakan agar ianya kekal relevan dengan kewujudan BAKAT dan fungsi utamanya. AGM kali ini dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi tetap (SOP) pencegahan Covid-19. Pengerusi JTBU menzahirkan rasa terima kasih kepada semua ahli mesyuarat yang sudi melapangkan waktu untuk hadir dan berharap agar aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar dan berkesan.