![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
JAKARTA, 11 Jun 2025 – Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU), Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM telah menghadiri Pameran 10th Indo Defence 2024 Expo & Forum yang berlangsung di Jakarta International Expo (JIExpo), Kemayoran, Jakarta, Republik Indonesia dari 11 hingga 14 Jun 2025. Beliau diiringi oleh Pengarah Latihan, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, Kolonel Hamidi bin Hashim TUDM.
Ketibaan PPLU dan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta telah disambut oleh Penolong Atase Pertahanan (Udara) di Jakarta, Leftenan Kolonel Aznan bin Alias TUDM.
Indo Defence 2024 merupakan pameran pertahanan terbesar di Indonesia yang merangkumi sektor udara, darat, laut dan keselamatan. Pameran ini menghimpunkan pemain industri dari sektor aeroangkasa, maritim dan automotif, termasuk syarikat komersial bertaraf antarabangsa, khususnya dari rantau Asia Pasifik.
Majlis perasmian JIExpo telah disempurnakan oleh Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto. PPLU turut menghadiri majlis perasmian tersebut dan menyaksikan demonstrasi dron sebagai sebahagian daripada acara pembukaan. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Adly bin Zahari; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi; dan Asisten Ketua Staf Operasi & Latihan TLDM, Laksamana Muda Dato' Pahlawan Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin.
Semasa di pameran tersebut, PPLU turut menghadiri majlis penyerahan kontrak bagi Defence Services Asia (DSA) 2026 dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026 di Pavilion Malaysia, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan. Penglibatan Kementerian Pertahanan dalam pameran JIExpo bertujuan untuk mempromosikan keupayaan industri pertahanan negara serta memperkenalkan DSA dan NATSEC Asia 2026 kepada komuniti pertahanan antarabangsa. DSA 2026 merupakan penganjuran kali ke-19 manakala NATSEC Asia 2026 adalah kali ke-4 dan kedua-duanya akan diadakan pada 20 hingga 23 April 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
PPLU juga turut mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Timbalan Panglima Tentera Udara Republik Indonesia (Wakil Kepala Staf Angkatan Udara - WAKASAU), Marsekal Madya TNI Andyawan Martono Putra. Beliau juga sempat melawat beberapa tapak pameran syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa untuk meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang teknologi serta sistem pertahanan terkini.