SUBANG, 10 Disember 2020 – Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU), Puan Sri Norainy binti Shahar Alam telah melaksanakan lawatan kebajikan ke atas BAKAT Udara PU Subang serentak dengan lawatan kerja Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM ke Pangkalan Udara Subang (PU Subang) yang berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 Disember 2020.
Ketibaan Pengerusi JTBU di Rumah BAKAT Udara pangkalan telah disambut oleh Pengerusi BAKAT Udara, PU Subang, Puan Normah binti Ismail dan Timbalannya serta Ketua-ketua Biro BAKAT Udara pangkalan.Turut menyertai lawatan kebajikan ini ialah ahli JTBU iaitu Datin Dr. Sorayah binti Sidek, Datin Lynette binti Mohamed, Datin Aida binti Ibrahim, Datin Noorisah binti Mohammad dan Puan Rosyatimah binti Ahmad.
Dalam rangka lawatan ini, Pengerusi JTBU telah menyampaikan sumbangan kebajikan di dalam bentuk barangan dan wang tunai kepada ahli-ahli BAKAT Udara yang mempunyai masalah kesihatan mengidap sakit kronik dan sumbangan kepada anak istimewa. Selain menzahirkan keprihatinan JTBU dan sebagai sokongan semangat (morale support), sumbangan kebajikan yang dihulurkan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.
Puan Sri Norainy turut diberi penghormatan bagi merasmikan Mini Perpustakaan, Bilik Kaunseling dan Terapi serta “Quran Corner” untuk kemudahan dan kegunaan ahli BAKAT Udara serta anak-anak. Beliau dan ahli JTBU turut disajikan demonstrasi "sand theraphy" oleh pakar terapi yang diundang khas oleh BAKAT PU Subang.
Pada hari kedua, beliau dan rombongan JTBU telah membuat lawatan ke Rumah BAKAT BOB bagi mendekati dan menyantuni ahli-ahli BAKAT Udara serta menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mengidap sakit kronik dan sumbangan kepada anak istimewa.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan upacara Serah Terima Tugas Pengerusi BAKAT BOB iaitu di antara Puan Haslin binti Ismail dengan Puan Lezura binti Mustafa Afandi.
Pengerusi JTBU dan delegasi turut menguntukkan masa mengadakan sesi dialog bersama Pengerusi BAKAT Udara Markas/Pangkalan/Skuadron serta Ketua-ketua Biro dan ahli-ahli BAKAT Udara sebagai interaksi perkongsian pandangan. Selain itu, turut menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan kebajikan dan program-program BAKAT Udara serta perancangan aktiviti BAKAT secara keseluruhan yang terus memfokuskan kepada aspek kebajikan ahli-ahlinya serta anak-anak mereka serta menjadikan institusi BAKAT Udara sebagai platform terbaik yang mengambil berat aspek kebajikan keluarga warga TUDM.