![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 11 Ogos 2025 – Susulan daripada sesi libat urus Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), satu sesi naziran khusus telah diadakan oleh delegasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Pangkalan Udara Kuantan. Sesi naziran yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Gaji dan Elaun JPA, Dr. Nor Azlin binti Mohammad Shamsudin ini memfokuskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pemeriksa Kapal Terbang (BIPKT) dan Bayaran Insentif Rating Pegawai Pengurusan Ruang Angkasa (BIPPR).
Sesi Naziran ini bertujuan untuk memperhalusi pelaksanaan BIPKT dan BIPPR agar selari dengan kerangka SSPA ATM. Ia juga bermatlamat memberikan pencerahan terperinci kepada delegasi JPA mengenai justifikasi keseluruhan ekosistem insentif tersebut, merangkumi perincian skop tugas, asas pemberian, serta kriteria kelayakan penerima yang ketat.
Bagi memberi kefahaman yang mendalam, sesi naziran ini telah disusun secara komprehensif melalui tiga segmen utama: sesi taklimat, diikuti semakan dokumen dan diakhiri dengan demonstrasi penugasan di lapangan. Sesi taklimat merangkumi pembentangan mengenai BIPKT oleh PS1 Kejuruteraan A MAWILUD 1, Lt Kol Ir Mahadhir bin A. Rahman TUDM. Taklimat bagi BIPPR pula dibahagikan kepada dua segmen: Kawalan Trafik Udara (KTU) yang disampaikan oleh Ketua Sekolah Kawalan Trafik Udara, INSPRA, Lt Kol Mohamad Hasry bin Azhar TUDM dan segmen Kawalan Pertahanan Udara (KPU) oleh Pegawai Penilai Tempatan, Skn 320 (CRC 1), Lt Kol Addy Zulkarnain bin Tumari TUDM.
Pucuk pimpinan ATM dan TUDM khususnya telah memberikan komitmen tinggi dalam menggembleng aset serta sumber manusia berkepakaran untuk melaksanakan demonstrasi penugasan pegawai pemeriksa kapal terbang, kawalan pertahanan udara, dan kawalan trafik udara. Segmen demonstrasi lapangan dilaksanakan melalui Ops Curiga dan Force Down yang melibatkan RAOC 1, CRC 1, Cawangan Operasi serta pesawat F/A18 dan C130. Sesi demo ini diketuai Ketua Staf MAWILUD 1, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM yang berjaya mempamerkan tahap profesionalisme tinggi dan koordinasi efektif antara pelbagai unit. Usaha ini telah berjaya memberikan kefahaman yang realistik dan mendalam kepada delegasi naziran mengenai kompleksiti serta kepentingan tugas yang dilaksanakan dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
Maklum balas positif yang diterima menjadi peneguhan kepada justifikasi yang dibentangkan. Justeru, ATM meletakkan harapan tinggi agar JPA dan Kementerian Kewangan (MOF) memberi pertimbangan untuk meluluskan permohonan penambahbaikan elaun BIPKT dan BIPPR. Selain itu, kejayaan sesi ini diharap menjadi asas yang kukuh bagi JPA dan MOF untuk mengkaji secara holistik kepentingan strategik dalam mengekalkan elaun-elaun perkhidmatan kritikal yang lain melalui semakan SSPA ATM secara keseluruhan.
Turut hadir menyaksikan sesi naziran ini ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; AKS Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM; AKS Kejuruteraan, Mej Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan – TSBDSP(M) Kementerian Kewangan, Puan Habshah binti Ali serta pegawai-pegawai kanan dan wakil dari JPA, MOF, MINDEF dan ATM. Terima kasih diucapkan kepada warga MAWILUD 1, PU Kuantan, BPA-CTK, MTU-Perkhidmatan dan Kumpulan Fokus SSPA ATM (Elaun) di atas segala persiapan dan pentadbiran untuk menjayakan sesi naziran ini.