![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 14 Mei 2025 – Bertempat di Dispersal Area, Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Kuantan, telah berlangsung Perbarisan Bulanan Pegawai Waran Pangkalan yang melibatkan seramai 112 anggota LLP, pagi ini.
Perbarisan diketuai oleh PW U I Mohd Zaidi bin Mohamad dari Skn 213 Handau, dimulakan dengan nyanyian lagu Perwira di Angkasa, diikuti pemeriksaan perbarisan oleh Pegawai Waran Pangkalan, PW U I Zaizul Azmi bin Othman, yang diiringi ketua perbarisan.
Bagi memperkukuh disiplin serta meningkatkan prestasi anggota menghadapi perbarisan lebih besar seperti Perbarisan Ajutan dan Perbarisan Komander Pangkalan, latihan intensif kawad telah diberikan kepada semua anggota, dibimbing oleh jurulatih-jurulatih kawad pangkalan.
Dalam ucapannya, Pegawai Waran Pangkalan menekankan aspek hormat-menghormati dan pengekalan budaya regimental agar identiti dan keperibadian sebagai anggota tentera terus sebati dalam diri setiap anggota.
Beliau turut menegaskan kepatuhan penuh terhadap Direktif Panglima Tentera Udara No. 5 berkaitan penyalahgunaan dadah, menyeru semua anggota agar menjauhi segala bentuk pengedaran dan penggunaan bahan terlarang yang hanya akan merugikan diri serta menjejaskan kerjaya.
Beliau juga menekankan aspek integriti dan perikemanusiaan seperti termaktub dalam Direktif Panglima Tentera Udara No. 18, khususnya mengenai jenayah tubuh badan termasuk perbuatan buli. Perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik TUDM, malah mana-mana anggota yang disabitkan kesalahan akan dikenakan tindakan pemberhentian selaras dengan Peraturan-peraturan Angkatan Tentera.
Mengakhiri amanatnya, beliau turut mengingatkan semua warga LLP agar sentiasa menjaga sensitiviti perkauman, agama dan bangsa dalam penggunaan media sosial. Selain itu, beliau menegaskan larangan keras menyebarkan maklumat sulit pangkalan atau merakam gambar di kawasan larangan, demi menjamin keselamatan dan kerahsiaan operasi.
Perbarisan bulanan ini merupakan medium penting dalam menyampaikan amanat kepimpinan tertinggi TUDM dan menyatukan semangat rejimental di kalangan anggota secara langsung dan berkesan.