![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 17 Jun 2025 - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Al Allah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Makan Beradat sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-67 di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Berdua telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor.
Seramai 397 pegawai TUDM bersama pasangan telah hadir ke majlis yang penuh bersejarah ini.
Dalam majlis ini, KDPB Sultan Pahang dan KDPB Ampuan Pahang turut dipersembahkan dengan persembahan daripada Cawangan Muzik dan Kesenian Tentera Udara serta tayangan multimedia yang menggambarkan kecemerlangan operasi TUDM sejak awal penubuhannya sehingga menjangkau usia 67 tahun yang terus siaga mempertahankan kedaulatan ruang udara negara. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara memotong kek Hari Ulang Tahun TUDM Ke-67.
Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Berdua atas limpah perkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Makan Beradat sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-67 pada malam ini.
Sesungguhnya, Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM menzahirkan keprihatinan dan sokongan terhadap pengorbanan serta perjuangan pasukan keramat ini. Daulat Tuanku !
Turut hadir dalam majlis ini adalah Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Datin Dewimastura binti Tumiran; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan isteri, Datin Maznah binti Hj Johari serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.