LAWATAN PENGENALAN PANGLIMA TENTERA UDARA KE THAILAND MENCERMINKAN HUBUNGAN ERAT TUDM-RTAF

1 3 4
5 6 7
8 9 10

 

BANGKOK, 9 Jul 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Mohamad Norazlan bin Aris TUDM telah mengadakan Lawatan Pengenalan ke Thailand dan bertemu rakan sejawatnya dari Royal Thai Air Force (RTAF). Lawatan ini merupakan lawatan ulung beliau selaku Panglima Tentera Udara Ke-21.

Beliau juga turut diiringi isteri, Datin Sri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara yang hadir bagi mengikuti program bersama isteri Commander-in- Chief RTAF. Deligasi TUDM yang turut sama adalah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Datin Dewimastura binti Tumiran serta Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM dan isteri, Datin Nor Asmah binti Hj Hashim.

Lawatan Pengenalan dimulakan dengan lawatan ke Markas RTAF. Sebaik ketibaan di Markas RTAF, Panglima Tentera Udara telah disambut oleh Commander-in- Chief RTAF, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul serta kepimpinan tertinggi RTAF. Beliau kemudiaannya telah diberi penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari RTAF.

Panglima Tentera Udara seterusnya mengadakan kunjungan hormat kepada Commander-in- Chief RTAF. Perjumpaan ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin angkatan udara membincangkan isu-isu ketenteraan dan kerjasama dua hala yang memfokuskan kepada pengukuhan hubungan melalui latihan bersama, pertukaran lawatan, program latihan dan pendidikan serta pertukaran kepakaran teknikal antara kedua-dua angkatan udara.

Detik bersejarah dalam lawatan ini adalah Penganugerahan Sayap Penerbangan Kehormat oleh Commander-in- Chief RTAF kepada Panglima Tentera Udara. Penganugerahan ini sebagai mengiktiraf segala jasa dan penghormatan kepada Panglima Tentera Udara dalam menerajui pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan serta hubungan baik di antara kedua-dua angkatan udara yang telah terjalin sekian lama.

Pada sebelah malamnya, Panglima Tentera Udara dan isteri serta delegasi telah diraikan di Majlis Makan Malam Rasmi yang dianjurkan oleh Commander-in- Chief RTAF. Ketibaan Panglima Tentera Udara dan isteri telah disambut oleh Commander-in- Chief RTAF dan isteri, Mrs. Montira Pattanakul serta pegawai kanan RTAF.

Lawatan selama dua hari bermula 9 hingga 10 Julai 2025 ini telah mencerminkan hubungan erat serta komitmen berterusan pucuk pimpinan tertinggi TUDM dalam memperkukuh kerjasama strategik dan ketenteraan antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam aspek pertahanan udara bagi menjamin keselamatan dan keamanan serantau.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

INTERNAL AGENCY