![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 4 September 2025 – Kejohanan Ragbi Antara Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2025, yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September di Stadium PU Subang telah melabuhkan tirai.
Pada hari penutup, tiga perlawanan akhir telah berlangsung dalam kategori Bowl, Plate dan Cup. Gabungan pasukan PU Jugra/INSMAT berdepan dengan PU Kuantan dalam kategori Bowl. PU Kuantan berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 5–20. Perlawanan kategori Plate menyaksikan persaingan sengit antara pasukan Pegawai dan PU Sendayan/SLTT, yang akhirnya berakhir seri 5–5. Kemenangan berpihak ke pasukan PU Sendayan/SLTT dengan sepakan conversion 2-1.Perlawanan akhir kategori Cup, PU Subang berjaya menundukkan pasukan Markas dengan keputusan 7–0, menobatkan mereka sebagai juara acara tersebut.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato' Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM selaku Penaung Persatuan Ragbi TUDM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Komander Pangkalan Udara Subang. Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM; Pengerusi Persatuan Ragbi TUDM, Kolonel Adham Farshid bin Talib TUDM dan Setiausaha Persatuan Ragbi ATM, Leftenan Kolonel Yussrizal bin Jamaluddin TUDM.
Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan ragbi serta mengukuhkan hubungan antara pangkalan. Semangat juang tinggi, disiplin dan daya kerjasama yang dipamerkan para pemain mencerminkan falsafah TUDM dalam mengangkat sukan sebagai sebahagian daripada budaya organisasi sepertimana tonggak keenam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu "Melestarikan Warga Udara".
Penganjuran kejohanan ini membuktikan komitmen teguh TUDM dalam memperkasakan pembangunan sukan secara dalaman serta menyokong aspirasi kecergasan fizikal, kesihatan dan esprit de corps di kalangan warga udara. Semoga kejayaan dan semangat kesukanan sepanjang kejohanan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang dalam acara akan datang.