KETUA JURULATIH AIR FORCE EAGLE FIGHTER DINOBATKAN SEBAGAI JUARA TINJU PROFESIONAL TWINS CHAMPIONSHIP SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA

1 2 3

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2025 - Kehebatan dan ketangkasan di dalam gelanggang tinju sekali lagi dibuktikan oleh Ketua Jurulatih Air Force Eagle Fighter FSjn Mohamad Farouqi bin Manahad Anif apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Tinju Profesional TWINS CHAMPIONSHIP sempena Sambutan Hari Belia Negara 2025 yang berlangsung bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perlawanan akhir yang dinanti-nantikan berakhir dengan penuh dramatik apabila FSjn Mohamad Farouqi berjaya menewaskan lawannya menerusi kemenangan Technical Knock Out (TKO) pada pusingan kedua. Kemenangan tersebut diraih selepas pengadil terpaksa menghentikan pertarungan apabila lawannya dilihat kehilangan keseimbangan berikutan tumbukan padu dan bertubi-tubi yang tepat mengenai muka serta bahagian abdomen. Kejayaan ini sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak buat FSjn Mohamad Farouqi dalam pertarungan tersebut dan membuktikan ketangkasannya di dalam gelanggang.

Kemenangan bergaya yang diraih FSjn Mohamad Farouqi bukan sekadar mencerminkan ketangkasan dan kecekapan teknikal beliau di gelanggang malah turut menyerlahkan komitmen, disiplin, serta semangat juang luar biasa selaku Ketua Jurulatih Tinju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Lebih daripada sekadar kemenangan peribadi, pencapaian ini turut mengangkat martabat TUDM dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) dalam landskap sukan tempur tanah air di samping memperkukuh kehadiran institusi ketenteraan negara di pentas antarabangsa.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa kecemerlangan dalam ketenteraan bukan sahaja tertumpu di medan operasi, tetapi juga di arena sukan yang menuntut ketahanan fizikal, mental dan strategi berkelas tinggi. Syabas dan tahniah diucapkan kepada FSjn Mohamad Farouqi bin Manahad Anif di atas pencapaian cemerlang ini.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer