![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
MARAKAH, 16 Jun 2025 – Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-67 oleh warga TUDM MALBATT 850-12 yang bertemakan “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara” telah diadakan di Padang Kawad, Kem Marakah pada 16 Jun 2025. Perbarisan ini telah disempurnakan oleh Ketua Kontinjen TUDM, Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar Bin Hadzir TUDM.
Perbarisan yang berkonsepkan statik melibatkan 2 detasmen yang terdiri daripada 4 Pegawai dan 67 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) TUDM MALBATT 850-12 yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar Bin Hadzir TUDM. Ketua perbarisan adalah Mej Marzuki TUDM, Ajutan perbarisan adalah Kapt Aizuddin bin Ismail TUDM, Ketua Flait 1 Kapt Amar bin Mohd Azmurin TUDM, Ketua flait 2 Kapt Nur Atiqah Farween binti Abdul Aziz TUDM, dan Pegawai Waran perbarisan Flait Sarjan Shahrun Bin Ahmad. Dalam perbarisan tersebut, Ketua Kontinjen, Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar Bin Hadzir TUDM telah penyampaian Perutusan daripada Panglima Tentera Udara kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar Bin Hadzir TUDM telah membaca Perutusan khas Panglima Tentera Udara sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67 yang menzahirkan ucapan penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan warga TUDM yang masih berkhidmat dan juga yang telah bersara dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara. Perutusan ini juga turut meliputi peranan strategik, pencapaian dan halatuju masa hadapan TUDM didalam CAP55.
TUDM sebagai tunjang utama pertahanan ruang udara negara, berperanan sebagai benteng kedaulatan yang utuh, sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dan teguh dalam menjulang maruah serta kedaulatan tanah air tercinta.
Semoga seluruh warga TUDM terus meningkatkan profesionalisme, memperkukuh semangat juang dan menyemai semangat iltizam untuk terus memastikan angkatan keramat ini sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tertinggi.
Selesai perbarisan, acara diteruskan dengan acara bergambar di Kem Marakah. Acara disusuli dengan Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Bersama pegawai dan anggota LLP. Majlis diserikan dengan kehadiran Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi bin Hj Mohd Shalleh dan Timbalan Komander, Lt Kol Firdaus Bin Shah Budin serta pegawai kanan lain.
“Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”
"Sentiasa Di Angkasa Raya"