![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 21 Ogos 2025 – Tred Master Kawalan Lalu Lintas Udara (KLLU), Brig Jen Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat, Lencana Ketukangan, Penyampaian Sijil dan Penutup Kursus Basic Air Traffic Control Officer (BATCO) Siri 48/24 bertempat di Auditorium Sekolah Bomba dan Penyelamat. Beliau diiringi oleh Lt Kol Sharidan bin Nemad TUDM, Pemangku Komandan INSPRA bersama para Eksekutif INSPRA. Majlis turut diserikan dengan kehadiran delegasi dari School of Air Traffic (SATC), Royal Australian Air Force (RAAF) East Sale, wakil Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta keluarga para graduan.
Kursus BATCO Siri 48/24 telah berlangsung bermula pada 11 November 2024 hingga 22 Ogos 2025 dengan penglibatan seramai 13 peserta yang terdiri daripada 11 pegawai TUDM dan dua (2) pegawai TDM daripada PUTD. Majlis dimulakan dengan pemakaian pangkat kepada 10 pegawai, iaitu seorang pegawai TDM dinaikkan pangkat daripada Lt ke Kapt, manakala sembilan pegawai TUDM dinaikkan pangkat daripada Lt M TUDM ke Lt TUDM. Seterusnya, para graduan menerima sijil tamat kursus serta penyampaian anugerah peserta terbaik. Peserta Terbaik Teori telah disandang oleh Lt Mohammad Alif Aiman bin Mohammad Zamri TUDM, manakala Peserta Terbaik Amali dan Keseluruhan disandang oleh Lt Ahmad Adha bin Salehuddin TUDM.
Dalam ucapannya, Tred Master menzahirkan ucapan tahniah dan syabas di atas kejayaan menamatkan kursus dengan cemerlang. Beliau turut menekankan kepentingan setiap pegawai untuk terus meningkatkan keupayaan diri serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus dalam kerjaya sebagai Pegawai Pengurusan Ruang Angkasa.
Majlis diakhiri dengan penghantaran pulang delegasi SATC RAAF East Sale yang berlepas pulang ke Australia pada malam yang sama. Sesi bergambar bersama YBhg Tred Master KLLU, warga Eksekutif INSPRA dan keluarga graduan turut diadakan sebagai kenangan. Selain itu, keluarga graduan turut diberi peluang melawat bangunan Aerodrome Control Training Simulator (ACTS) dan menyaksikan demonstrasi kawalan trafik udara oleh para graduan. Mereka menzahirkan rasa kagum serta bangga dengan pencapaian para graduan yang berjaya menamatkan kursus ini.