![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SENDAYAN, 4 Jul 25 – Pihak pentadbiran Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor yang juga dikenali sebagai Kuala Selangor Science School (KUSESS) telah menganjurkan majlis penghargaan kepada semua pihak dari Pangkalan Udara Sendayan dan unit berhampiran yang terlibat dalam menjayakan Kem EMBERS Juara 2025.
EMBERS merupakan pasukan bola jaring KUSESS yang menjalani latihan intensif pada setiap hujung minggu mulai Mei 25 hingga Jul 25 di kawasan persekitaran Pangkalan Udara Sendayan di bawah bimbingan sekumpulan jurulatih INSTAR dan gabungan PTI dari Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) serta PTI dari Pangkalan Udara Sendayan.
Objektif penganjuran Kem EMBERS Juara 2025 ini adalah bagi meningkatkan tahap mental dan fizikal ahli pasukan EMBERS sempena Kejohanan Bola Jaring Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
Majlis penghargaan ini diadakan di Dewan Al Fateh, INSTAR dan telah disempurnakan oleh Lt Kol Adisman bin Hazari TUDM, Ketua Cawangan Tadbir mewakili Pemangku Komander Pangkalan Udara Sendayan. Barisan jurulatih INSTAR yang menerima sijil penghargaan dari Puan Hajah Feizatul Akmar Nor binti Nurbi, Pengetua KUSESS ialah Sjn U Mohd Raffezan bin Harun dari Sekolah Pembantu Pertahanan dan 3 orang jurulatih dari Sekolah Jasmani dan Sukan iaitu F/Sjn Raja Mohd Asrul bin Raja Ahmaddun, Sjn U Weldy Amin dan Kpl U Mohamad Fitri bin Mohamad Shukri.
Tahniah diucapkan kepada semua warga TUDM di bumi Sendayan khasnya para jurulatih INSTAR yang terlibat secara langsung dalam program ini. Penglibatan mereka merupakan salah satu pengisian Corporate Social Responsibility (CSR) yang membuktikan komitmen TUDM kepada komuniti melalui pembangunan sahsiah dan ketahanan mental serta fizikal anak bangsa melibatkan bidang sukan. Semoga usaha murni seperti ini bakal diteruskan pada masa mendatang melalui konsep kolaborasi dengan pihak-pihak yang bersesuaian.