![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 26 Ogos 2025 – Sekolah Bomba dan Menyelamat (SBM), INSPRA telah melaksanakan Program Jiwa Madani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram, Kuantan, Pahang. Program ini dipimpin oleh Mejar Isrul Azwan bin Razali TUDM selaku Ketua Sel Latihan SBM bersama barisan jurulatih serta peserta kursus SBM INSPRA.
Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada usaha pembangunan sahsiah dan tanggungjawab sosial, di samping memperkukuh pelaksanaan konsep CIMIC (Civil-Military Cooperation) yang menjadi teras hubungan di antara Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan masyarakat awam.
Antara pengisian utama program termasuk ceramah kebakaran dan keselamatan, taklimat berkaitan penggunaan alat pemadaman api serta sesi taklimat kerjaya TUDM yang memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peluang perkhidmatan dan prospek masa depan bersama TUDM. Aktiviti gotong-royong bersama warga sekolah turut diadakan, sekali gus menyemai semangat kerjasama dan nilai murni dalam kalangan peserta.
Pihak pengurusan SJKT Ladang Jeram telah merakamkan penghargaan tinggi kepada pihak SBM INSPRA atas komitmen dan sumbangan mereka dalam menjayakan program ini. Usaha sebegini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada murid-murid melalui pendidikan keselamatan dan motivasi kerjaya, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti setempat dengan TUDM.
Majlis penutup telah disempurnakan dengan ucapan penghargaan daripada Ketua Sel Latihan SBM, diikuti penyerahan cenderahati serta sesi bergambar kenangan bersama warga sekolah dan para peserta.
Program ini sekali lagi membuktikan bahawa SBM INSPRA bukan sahaja berperanan dalam melahirkan anggota bomba dan menyelamat yang cemerlang dari aspek latihan, malah turut menjiwai nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial serta aspirasi CIMIC dalam membina hubungan erat antara tentera dan masyarakat.