KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan telah memenuhi undangan sebagai jemputan ke Majlis Santapan Malam Sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-259 bertempat di Dewan Santapan Utama, Istana Negara. Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-259 dipengerusikan oleh Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selama dua hari bermula hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah telah berkenan berangkat ke majlis santapan malam serta diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Selain daripada itu, majlis santapan malam ini turut diiringi bersama dengan keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dan Yang Berbahagia Toh Puan-Toh Puan yang turut dihadiri oleh Menteri Besar- Menteri Besar,Ketua Menteri-Ketua Menteri dan Timbalan Premier bagi Negeri Sarawak.
Turut hadir adalah Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan isteri, Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin serta Menteri-menteri Kabinet manakala daripada Angkatan Tentera Malaysia, majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Udara berserta isteri masing-masing.
Barisan kepimpinan tertinggi ATM sememangnya menjunjung tinggi institusi Raja-raja yang telah terjalin kukuh sekian lama dan ianya selaras dengan Perlembagaan Negara.