KUANTAN, 29 Jun 22 – TUDM hari ini telah mengadakan Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM bertempat di 'Dispersal Area' Cawang Kejuruteraan, Pangkalan Udara Kuantan. Perbarisan ini adalah sebagai satu penghormatan TUDM khusus kepada beliau yang telah menabur bakti selama 41 Tahun 5 bulan di dalam perkhidmatan ATM amnya dan TUDM khususnya dan Pangkalan Udara Kuantan telah dipilih sebagai lokasi penganjuran acara bersejarah ini kepada TUDM amnya dan khususnya kepada Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM bersama isteri Datin Dr. Hjh Sorayah binti Sidek.
Pada perbarisan persaraan ini, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan turut hadir menyaksikan serta menyertai acara ‘Send Off” sebagai tanda terima kasih dan penghargaan bersama-sama warga TUDM yang lain. Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Kol (Kehormat) Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan PSSTUDM; Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri; para pegawai kanan TUDM berserta isteri, kenalan rapat, ahli keluarga, warga TUDM khususnya Pangkalan Udara Kuantan, Veteran TUDM dan kakitangan awam yang pernah berkhidmat bersama Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM.
Di perbarisan ini, Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 185 anggota Lain Lain Pangkat. Perbarisan yang berkongsepkan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat ini diketuai oleh Mej Norman bin Mat Ali @ Ismail TUDM dari Skn 401 GBAD manakala ajutan perbarisan adalah Kapt Mohd Firdaus bin Nordin TUDM dari INSPRA. Perbarisan pada pagi ini telah diiringi oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia di bawah pimpinan Kapt Sabri bin Hamil TUDM.
Setelah selesai acara berjalan lalu, Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM diberikan penghormatan memberikan ucapan. Beliau telah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Kerajaan Malaysia, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia serta pucuk pimpinan TUDM khususnya di atas kepercayaan dan tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Di kesempatan ini, beliau turut menyatakan penghargaan kepada ahli keluarga serta rakan-rakan sama ada yang masih berkhidmat mahupun telah bersara yang turut sama meraikan beliau pada hari ini. Tidak lupa juga kepada Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan isteri, Puan Zaity Junaida binti Mohd Zaki serta warga Pangkalan Udara Kuantan yang menjayakan acara perbarisan untuk beliau.
“Perasaan saya pada waktu ini amat bercampur baur. Boleh dikatakan hampir 2/3 perjalanan hidup saya telah saya dedikasikan kepada TUDM dan kini masanya telah tiba untuk saya berundur dan memanfaatkan sepenuh masa bersama ahli keluarga. Jalinan silaturrahim di kalangan anggota TUDM amatlah unik. Hubungan di antara kita tidak hanya terhad kepada hubungan di antara rakan sekerja sahaja, tetapi ianya melangkaui lebih dari itu dan seakan-akan kita semua adalah satu keluarga besar di mana perasaan kekeluargaan ini bersebati dalam jiwa kita. Melalui TUDM juga saya telah bertemu jodoh, membesarkan anak-anak saya dan turut diberi peluang untuk mencapai puncak kerjaya saya” ujar beliau.
Di dalam ucapannya, beliau turut berpesan agar warga TUDM perlu sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dan bersungguh-sungguh terhadap segala penugasan yang telah diamanahkan. Di akhir ucapan beliau turut mengingatkan bahawa setiap pemimpin datang dan pergi, namun momentum perjuangan yang dibawa haruslah dikekalkan demi mencapai visi dan misi TUDM.
Beliau juga bagi pihak isteri, Datin Dr. Hjh Sorayah binti Sidek, mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jemaah BAKAT Udara dan seluruh barisan para isteri serta ahli-ahli BAKAT Udara yang telah memberi sokongan yang padu dan tidak berbelah bagi semasa menjadi ahli pertubuhan tersebut. Beliau juga berharap agar ahli-ahli BAKAT Udara terus maju dan terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan institusi keluarga di dalam TUDM.
Sebagai simbolik penghargaan TUDM kepada beliau, Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri telah diraikan dengan acara ‘send-off’ yang diadakan secara tradisi ketenteraan iaitu menaiki pesawat F/A-18D Hornet dari No 18 Skuadron bagi memberi peluang warga TUDM memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dan isteri beredar meninggalkan acara. Seluruh warga TUDM mengucapkan Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya kepada Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Dr Hjh Sorayah binti Sidek.