![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
JUGRA, 12 Jul 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah dianugerahkan Beret Biru Kehormat Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dalam satu upacara perbarisan yang diadakan di Pangkalan Udara Jugra, Banting hari ini.
Beret Biru merupakan lambang kemegahan kepada warga PASKAU dan penganugerahannya hanya diberikan kepada pemimpin tertinggi TUDM sebagai suatu penghormatan serta pengiktirafan kepada penerimanya. Kemegahan Beret Biru melambangkan keberanian, kewibaan dan keperwiraan sejati. "Legacy of Valor. A Force of Today. A Vision for Tomorrow."
Penganugerahan kepada Panglima Tentera Udara merupakan simbol pengiktirafan tertinggi oleh PASKAU terhadap kepimpinan, kewibawaan dan komitmen Panglima Tentera Udara dalam memperkasakan keupayaan tempur serta pembangunan modal insan anggota PASKAU selaku benteng pertahanan negara.
Upacara Pemakaian Beret Kehormat PASKAU kepada Panglima Tentera Udara telah disempurnakan oleh Panglima Rejimen TUDM, Brigedier Jeneral Mohd Zairul Hisham bin Muhamad Ibrahim TUDM.
Panglima Tentera Udara dalam ucapan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa berbangga di atas penganugerahan Beret Biru PASKAU. Beliau menyatakan bahawa penganugerahan ini dianggap sebagai simbol penghormatan dan kepercayaan kepadanya selaku pemimpin TUDM yang baharu. Beliau juga menyeru kepada semua warga PASKAU agar bersama-sama bersiap siaga sebagai sebuah pasukan demi kecemerlangan operasi dan keselamatan negara.
Mengakhiri ucapan, Panglima Tentera Udara berkehendakkan agar PASKAU kekal relevan dengan situasi peperangan semasa, diperkukuhkan dengan latihan, peralatan yang sewajarnya dan diberi pengiktirafan selayaknya atas sumbangan warga PASKAU. Beliau juga berharap agar PASKAU terus menjadi pasukan yang unggul dalam melaksanakan tugas dan fungsinya.
Turut hadir menyaksikan upacara bersejarah ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Haji Mustapha TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM dan warga Pangkalan Udara Jugra.
" Cepat, Senyap, Pasti ”