PENGLIBATAN TUDM SEMARAKKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-68 PERINGKAT NEGERI PAHANG

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUANTAN, 31 Ogos 2025 – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 peringkat Negeri Pahang Darul Makmur berlangsung meriah dengan perbarisan penuh warna-warni di Padang MBK 1, Kuantan hari ini.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan sambutan ini. Keberangkatan baginda berdua turut diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Acara dimulakan dengan ketibaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Panji-panji No. 10 Skuadron terdiri daripada tiga (3) pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Kawalan Kehormatan Utama ini diketuai oleh Mejar Mohamad Fazli bin Ismail TUDM dengan dibantu oleh Kapten Ahmad Nadzri bin Aznan Shah TUDM. Pegawai Panji-Panji No. 10 Skuadron adalah Lt Muhammad Irfan bin Mat Rodi TUDM manakala Sarjan Mejar Rejimen Panji-Panji ialah PW U II Nor Mohd Akbar bin Hamdan. Turut mengiringi Pancaragam Akademi Tentera Udara yang terdiri daripada seorang pegawai dan 30 anggota LLP di bawah pimpinan Lt Mohd Hanif bin Che Razak TUDM.

Menambahkan lagi keistimewaan sambutan, orang ramai turut berpeluang menyaksikan persembahan terbang lintas hormat oleh empat (4) pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dari No. 12 Skuadron dan sebuah helikopter EC-725 AP dari No. 10 Skuadron. Acara dimeriahkan lagi dengan demonstrasi aksi payung terjun yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kol Muhamad Mustafa bin Omar TUDM.

Secara keseluruhan, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 ini disertai oleh 150 kontinjen yang terdiri daripada 82 kontinjen berjalan kaki dan 68 kontinjen berkenderaan, melibatkan seramai 5,227 peserta serta 644 buah kenderaan.

Penglibatan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam perbarisan ini sekali lagi menyerlahkan komitmen warga udara dalam menghayati semangat patriotisme, di samping menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 peringkat Negeri Pahang.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN