![]() |
![]() |
![]() |
Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM bersama isteri, Datin Sri Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor telah mengadakan kunjungan kepada mantan Panglima Tentera Udara ke-19, Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM (Bersara) dan isteri, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam di kediaman mereka di Ampang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kunjungan ini adalah bagi mengeratkan ikatan silaturahim yang telah sekian lama terjalin serta menzahirkan semangat setiakawan dan ukhuwah yang sentiasa menjadi asas kukuh kepada kesinambungan hubungan erat bersama mantan kepimpinan tertinggi yang telah banyak berjasa kepada perkhidmatan dan negara. Dikesempatan itu juga, Panglima Tentera Udara dan isteri telah meluangkan masa bertanya khabar serta turut mendoakan agar Jen Tan Sri Ackbal dan Puan Sri Norainy sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dijauhi daripada segala penyakit.
Turut hadir dalam kunjungan ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan isteri, Datin Maznah binti Hj Johari; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Datin Dewimastura binti Tumiran; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Lt Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM dan isteri, Datin Aida binti Ibrahim; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato' Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM dan isteri, Datin Zaity Junaida binti Mohd Zaki.
Sesi kunjungan diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Panglima Bantuan Udara agar Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM (Bersara) dan isteri, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam serta keluarga diberi perlindungan, kekuatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.