𝐓𝐔𝐃𝐌–𝐑𝐒𝐀𝐅 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐊𝐄𝐔𝐏𝐀𝐘𝐀𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐑 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 𝐒𝐀𝐑𝐄𝐗 𝐌𝐀𝐋𝐒𝐈𝐍𝐆 𝟐𝟎𝟐𝟓

1 2 3

 

SINGAPURA, 6 September 2025 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telah menutup tirai Eksesais Search and Rescue (SAREX) MALSING siri ke-7, yang berlangsung selama tiga hari di Pangkalan Udara Sembawang.

Eksesais ini melibatkan pengoperasian helikopter EC725 Caracal milik TUDM dan H225M milik RSAF, dengan penglibatan krew daripada kedua-dua negara yang bekerjasama secara profesional sambil mempamerkan tahap kesungguhan dan keazaman yang tinggi. Sepanjang latihan, pelbagai senario operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaksanakan, termasuk operasi pencarian mangsa pada waktu siang dan malam.

Sorotan utama eksesais tahun ini adalah simulasi insiden di perairan selatan Singapura yang menyaksikan pasukan kedua-dua negara berganding bahu melaksanakan teknik winching bagi menyelamatkan mangsa yang ditemui terapung di laut. Latihan ini bukan sahaja menguji keupayaan teknikal aset dan krew, malah menekankan kepentingan penyelarasan taktikal serta keberkesanan komunikasi bersama.

Sebagai latihan tahunan, SAREX MALSING terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi SAR kedua-dua angkatan udara. Kejayaan pelaksanaan eksesais ini turut menggariskan iltizam bersama TUDM dan RSAF dalam memastikan kemampuan bertindak balas pantas dan berkesan terhadap sebarang insiden sebenar, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselamatan serantau.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

INTERNAL AGENCY