PASKAU TAMPIL GAGAH DI KARNIVAL CIMIC 2025, TARIK PERHATIAN RIBUAN PENGUNJUNG

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

TAWAU, 30 Jun 25 – Lebih 15,000 rakyat Sabah membanjiri Kompleks Sukan Tawau sempena Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) 2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula 28 hingga 29 Jun. Acara anjuran Kementerian Pertahanan Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif di bawah konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam usaha memperkukuh jalinan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat awam.

Salah satu daya tarikan utama karnival ini adalah kehadiran Pasukan Khas TUDM (PASKAU) yang mempamerkan kehebatan mereka melalui demonstrasi udara dan aksi payung terjun yang memukau. Turut sama terlibat adalah Grup Gerak Khas (GGK) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL). Ribuan pengunjung bersorak kagum menyaksikan ketangkasan dan keberanian anggota pasukan khas ATM dalam beraksi di udara.

Selain pertunjukan udara, pengunjung turut berpeluang melihat pameran aset dan peralatan taktikal milik PASKAU termasuk senjata khas, kelengkapan operasi dan demonstrasi kemahiran tempur jarak dekat. Ramai pengunjung mengambil kesempatan berinteraksi secara langsung dengan anggota-anggota PASKAU yang turut berkongsi pengalaman mereka dalam melaksanakan misi-misi khas di dalam dan luar negara.

Penyertaan aktif PASKAU dalam karnival ini bukan sahaja berjaya menarik minat generasi muda terhadap kerjaya ketenteraan, malah meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting ATM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Ini adalah peluang terbaik untuk rakyat melihat sendiri keupayaan sebenar anggota ATM dan pameran aset ketenteraan dengan lebih dekat. Saya sendiri terinspirasi dan kini lebih yakin untuk memohon menyertai ATM selepas ini,” kata seorang pelajar tingkatan lima di Sabah, Amirul Hakim, 17.

Karnival CIMIC 2025 berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform integrasi rakyat dan tentera serta meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kesiapsiagaan pertahanan negara secara menyeluruh. Dengan sambutan yang luar biasa ini, Kementerian Pertahanan dijangka meneruskan penganjuran acara seumpama ini di lokasi-lokasi lain di seluruh negara.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

INTERNAL AGENCY