GONG KEDAK, 4 Julai 23 – Air Chief Marshal VR Chaudhari, Chief of the Air Staff Indian Air Force (IAF) dalam rangka program Lawatan Kerja Rasmi ke TUDM, hari ini telah membuat lawatan ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK). Beliau turut diiringi oleh Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM, Panglima Operasi Udara dan Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM, Panglima Wilayah Udara 1. Ketibaan beliau di PUGK telah disambut oleh Kolonel Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM, Komander Pangkalan Udara Gong Kedak serta barisan eksekutif pangkalan.
Sebaik ketibaan, beliau telah diberi penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter dari PUGK. Beliau dibawa melawat Bangunan Simulator dan dipersembahkan dengan taklimat pengoperasian simulator pesawat pejuang.
Beliau turut diberikan taklimat ringkas pengoperasian pesawat Su-30MKM. TUDM pernah berkolaborasi bersama jurulatih dan juruteknik dari Indian Air Force (IAF) sewaktu awal pengoperasian pesawat Su-30MKM dari segi perkongsian pengalaman dan kemahiran. Beliau juga mengabadikan foto kenangan lawatan ke No 12 Skuadron dan PUGK.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan menikmati jamuan makan tengah hari bersama pegawai di Wisma Perwira PUGK sebelum mengakhiri lawatan kerja ke PUGK.