![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SHAH ALAM, 16 Ogos 2025 – No 8 Skuadron telah mengadakan Majlis Makan Malam sempena meraikan Ulang Tahun Ke-10 A400M bertempat di Mardhiyyah Hotel and Suites, Shah Alam, Selangor.
Majlis telah dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Masro bin Kaliwon TUDM; Pegawai Memerintah No. 8 Skuadron, Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan TUDM serta mantan-mantan Pegawai Memerintah, pegawai-pegawai dan anggota yang masih dan pernah berkhidmat di No 8 Skuadron serta No 22 Skuadron.
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 pengoperasian pesawat pengangkut strategik A400M oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Sepuluh tahun lalu, kehadiran pesawat ini telah membawa anjakan besar dalam keupayaan logistik dan operasi udara negara, menjadikan Malaysia satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang mengoperasikan pesawat tersebut.
Sepanjang sedekad dalam perkhidmatan, A400M telah membuktikan keupayaannya melalui pelbagai operasi penting, khususnya dalam misi bantuan kemanusiaan antarabangsa. Pesawat ini telah menjadi nadi dalam penghantaran bantuan berskala besar, termasuk semasa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia pada 2018, di mana A400M mengangkut kenderaan, makanan dan peralatan perubatan ke kawasan terjejas. Ketika pandemik COVID-19 pula, ia digunakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari luar negara serta mengangkut vaksin dan bekalan kesihatan di seluruh negara. Tidak terhenti di situ, A400M turut berperanan dalam misi kemanusiaan ke Palestin dan Turkiye, memperlihatkan solidariti Malaysia di pentas antarabangsa.
Selain misi bantuan, kejayaan A400M juga terserlah dalam keupayaan logistik dan ketenteraan. Pesawat ini mampu melaksanakan atur gerak aset seperti kenderaan perisai Tentera Darat Malaysia dan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia, sekali gus meningkatkan keberkesanan kebolehoperasian ATM. Tambahan pula, A400M juga telah berjaya melaksanakan misi pengisian bahan bakar udara kepada jet tempur TUDM seperti F/A-18D Hornet, Su-30MKM dan BAE Hawk. Keupayaan ini memberi nilai tambah strategik kerana membolehkan pesawat tempur beroperasi lebih lama di udara tanpa perlu mendarat, seterusnya memperkukuh kesiapsiagaan TUDM dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi.
Majlis makan malam ini bukan sahaja mengukuhkan jalinan silaturahim antara warga TUDM yang pernah berkhidmat bersama skuadron serta yang baharu, tetapi juga mengimbau dan menzahirkan penghargaan kepada semua warga skuadron yang telah memastikan kecemerlangan skuadron sehingga ke hari ini.
Panglima Tentera Udara dalam ucapannya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anak kapal A400M di atas kejayaan melaksanakan pelbagai operasi sehingga kini. Beliau berkata, “Kejayaan ini adalah hasil dedikasi, profesionalisme serta semangat juang tinggi warga skuadron yang saya amat hargai. Justeru, saya berharap skuadron ini akan terus melakar kecemerlangan dan memperkukuh keupayaan operasi udara demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.”
Tahniah dan syabas kepada semua anak kapal A400M. " Teguh Merentas".