![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 20 Jun 2025 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat TUDM bagi Zon Tengah 1 Tahun 2024. Ketibaan beliau telah disambut dan diiringi oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri bin Jamari TUDM.
Seramai 233 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat telah hadir bagi menerima APC bagi Zon Tengah 1 Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Auditorium AWC, Pangkalan Udara Subang. Penerima anugerah merupakan calon yang telah dipilih dan diluluskan oleh Lembaga Pemilihan APC TUDM berdasarkan prestasi kerja sepanjang tahun 2024.
Penyampaian Sijil APC ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dalam prestasi serta mutu kerja oleh pegawai dan anggota TUDM dalam bidang dan jawatan masing-masing. Penerima telah menerima sijil berserta hadiah prestasi berjumlah RM1,000.00 yang disalurkan melalui akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di bawah seliaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam ucapannya, Timbalan Panglima Tentera Udara merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan berharap agar penghargaan yang diberikan ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus melaksanakan tugas dan amanah dengan lebih cemerlang.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mejar Jeneral Dato’ Haji Shamsudin bin Kassim TUDM; Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mejar Jeneral Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM; Ketua Staf Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Brigedier Jeneral Ir Azhar bin Idris TUDM; Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Brigedier Jeneral Mohd Sani bin Omar TUDM; serta barisan eksekutif Pangkalan Udara Subang.
Anugerah ini diharap dapat menyuntik motivasi dan inspirasi kepada seluruh warga TUDM untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri, sekali gus memartabatkan organisasi dan perkhidmatan. Sekalung penghargaan turut dirakamkan kepada Pangkalan Udara Subang selaku tuan rumah atas kejayaan menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat TUDM bagi Zon Tengah 1 Tahun 2024.