KUALA LUMPUR, 11 Jul 23 - Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Pemangku Panglima Tentera Udara telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Wisma Perwira ATM Tahun 2023 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM (WP ATM) yang turut dihadiri oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Seri Muhammad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob dan Lt Jen Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Commanding General WP ATM.
Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan perasmian pembukaan mesyuarat agung yang dihadiri seramai 434 pegawai daripada tiga cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu ahli WP ATM yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
Terdahulu, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abd Halim bin Hj Shaari, selaku Yang Dipertua, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia telah menyampaikan ucapan aluan. Beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas kehadiran Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-Panglima Perkhidmatan serta wakil ke Mesyuarat Agung WP ATM Sesi 2023/2024. Kehadiran ke mesyuarat ini merupakan simbol keutuhan organisasi yang mengeratkan perhubungan antara ahli tanpa mengira pangkat. Beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul dan bermesyuarat yang merupakan mesyuarat tahunan dihadiri semua pegawai yg berkhidmat di Kementerian Pertahanan bagi memilih dan melantik AJK serta mencapai kata sepakat dalam memartabatkan peranan dan fungsi WP ATM. Mesyuarat Agung ini menjadi medium bagi membincang dan mencapai keputusan terbaik dalam menentukan arah tuju WP ATM seiring keperluan perkhidmatan. Beliau turut merakamkan terima kasih kepada AJK sesi 2022/2023 yang telah memikul dan melaksanakan segala program dan aktiviti WP ATM.
Panglima Angkatan Tentera dalam ucapan perasmian pembukaan mesyuarat turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat menjayakan mesyuarat agung WP ATM dan memastikan kegemilangan kor pegawai terus berkekalan. Wisma Perwira atau lebih sinonim sebagai Mes Pegawai, merupakan salah sebuah platform terbaik untuk membangunkan keperibadian, serta membina kekuatan ‘intangible’ para pegawai terutamanya kepada para pegawai muda. Pembelajaran secara tidak rasmi yang berlaku di Mes ini sekaligus membentuk "pool of experience, knowledge and wisdom" yang boleh dikongsikan bersama. Selain daripada itu, etos kepahlawanan dan sifat regimental ketenteraan, dapat terus diterap dan diketengahkan demi memastikan kelangsungannya, agar ia tidak akan hilang ditelan zaman.
Beliau turut melahirkan kerisauan kesan negarif akibat melayari media sosial terlalu kerap sehingga menjadi ketagihan,melahirkan sikap tidak ambil peduli dan tidak bertegur sapa secara fizikal khususnya antara "senior" dan "junior" kerana lebih memilih gajet berbanding interksi sosial. Ini membawa kepada berlakunya tiada tolenransi dan persefahaman antara pegawai yang menyukarkan organisasi untuk bergerak secara bersama sama. Seterusnya beliau menyeru agar semua pegawai bersama-sama meningkatkan disiplin diri dan berusaha untuk mengimbangi keperluan peribadi dan keperluan perkhidmatan dengan sebijak-bijaknya.
Mesyuarat Agung WP ATM seterusnya dilaksanakan berdasarkan Buku Undang-undang Wisma Perwira ATM 2014 dan berakhir kira-kira jam 6.00 petang. Tahniah kepada AJK baharu sesi 2023 yang telah dilantik dan semoga cemerlang dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.