PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PERINGKAT TUDM BAGI ZON TIMUR TAHUN 2022

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 17
13 14 12

 

GONG KEDAK, 10 Jul 23 – Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU), Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat TUDM bagi Zon Timur Tahun 2022.

Ketibaan beliau disambut serta diiringi oleh Pemangku Komander Pangkalan Gong Kedak (PUGK), Lt Kol Mazlizan bin Shaikh Osman TUDM seterusnya beliau mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter dari PU GK sebelum beredar ke majlis AKC.

Seramai 28 pegawai dan 163 Anggota Lain-lain Pangkat telah hadir untuk menerima APC Tahun 2022 bagi Zon Timur yang diadakan di Dewan Puteri, PUGK. Penerima-penerima anugerah merupakan calon yang telah dipilih dan diluluskan oleh Lembaga Pemilihan APC TUDM berdasarkan prestasi kerja pada tahun 2022. Penyampaian Sijil APC adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan, meraikan pencapaian prestasi dan mutu kerja cemerlang yang dihasilkan oleh pegawai serta anggota TUDM dalam jawatan dan bidang masing-masing. Penerima menerima sijil dan hadiah prestasi berjumlah RM1,000.00 yang dibayar dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di bawah seliaan PTPTN.

Timbalan Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap agar pengiktirafan dan penghargaan yang telah diberikan kepada setiap penerima APC akan menjadi pendorong untuk melaksanakan tugas serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan lebih baik. Beliau turut menyeru agar semua warga TUDM untuk terus peka dan sensitif terhadap nilai teras TUDM yang digariskan iaitu Integriti, Keberanian, Kecemerlangan, Semangat Setia Kawan dan Mementingkan Perkhidmatan seterusnya sentiasa bertekad untuk meningkatkan prestasi keupayaan diri dan perlu gigih mendalami ilmu pengetahuan perkhidmatan, mencapai kepakaran dan menimba pengalaman agar mencapai tahap kompetensi yang diperlukan.

Turut hadir pada majlis ini adalah Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; Komander Pangkalan PU Kuantan, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM; Komander Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa, Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM; Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Raymond bin Radsung TUDM serta barisan eksekutif PU GK.

Anugerah ini diharap dapat memberi motivasi dan semangat serta inspirasi kepada warga TUDM amnya bagi meningkatkan prestasi diri dan seterusnya memartabatkan kecemerlangan organisasi dan perkhidmatan. Sekalung penghargaan kepada PUGK kerana telah menjadi tuan rumah dalam penganjuran Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat TUDM bagi Zon Timur Tahun 2022.